comscore
Tumpuan :
Mahkamah

[VIDEO] Bapa keji mengaku salah atas 30 pertuduhan rogol, cabul 2 anak kandung, seorang hamil

 

MUAR: Pekerja pembersihan mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas 30 pertuduhan merogol dan amang seksual fizikal terhadap dua anak kandungnya sejak 2017.

Tertuduh, 53, membuat pengakuan itu sebaik kesemua pertuduhan dibaca jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Abu Bakar Manat.

Lelaki terbabit berdepan 19 pertuduhan rogol dan 11 amang seksual fizikal terhadap dua anak kandung berusia 12 dan 16 tahun dengan seorang daripada mereka disahkan hamil.

Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa melakukan perbuatan terkutuk itu sejak 2017 ketika salah seorang mangsa berusia 10 tahun dengan kejadian terakhir berlaku pada 4 Julai lalu membabitkan dua lokasi berasingan di Jeram dan Bakri.

Artikel berkaitan: Bapa keji ‘ratah’ 2 anak kandung, seorang hamil

Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan 10 kali sebatan.

Bagi Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 14 dan dibaca bersama Seksyen 16 (1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebatan.

Mengikut fakta kes, perbuatan jijik tertuduh terbongkar apabila mangsa, 16, mengadu sakit dada sebelum menjalani pemeriksaan di hospital namun doktor merawatnya mendapati dia sedang hamil.

Susulan itu, satu laporan polis dibuat dan tertuduh ditahan Sabtu lalu.

Dalam pada itu, Timbalan Pendakwa Raya Danial Munir memohon mahkamah menetapkan satu tarikh bagi membolehkan pihaknya melengkapkan fakta kes serta tidak menawarkan jaminan terhadap tertuduh yang tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian menetapkan 8 Ogos depan untuk menjatuhkan hukuman serta memerintahkan supaya tiada jaminan diberikan.

Loading...
Terkini