
KOTA BHARU: Seorang buruh didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas tiga pertuduhan memukul dan menendang anak perempuannya, pada 30 Mac serta 13 Jun tahun lalu.
Bagaimanapun, tertuduh, Noor Hakimie Nadzir Hamdan Mohamad Akhir, 25, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Zulkifli Abllah.
Mengikut pertuduhan pertama hingga ketiga, tertuduh didakwa menganiaya anak perempuannya dengan cara memukul dan menendang di kepala, kaki dan pinggang kanak-kanak yang berusia satu tahun lapan bulan ketika kejadian.
Perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah di Kampung Kubang Badak Kedai Lalat Telok Mesra, dekat Bachok, 12.54 tengah hari hingga 2.11 petang, pada 30 Mac dan 13 Jun 2024.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 31 (1) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Kamarul Hasyime Rosli, manakala tertuduh diwakili peguam, Muhammad Zulfaqar Al Basysyar dan M Taufikrullah Rusli.
Mahkamah menetapkan 24 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk serahan dokumen.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.