comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Bapa tiga anak mengaku salah, ugut tetak, bunuh isteri

Tertuduh (kanan) dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Batu Pahat.-FOTO: NSTP

BATU PAHAT: Seorang lelaki didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan mengugut mahu menetak dan membunuh isterinya, Rabu lalu.

Tertuduh, Mohamad Hairul Azizi Othman, 30, didenda RM4,000 selepas mengaku bersalah sejurus pertuduhan dibaca oleh jurubahasa di hadapan Majistret Suhaila Shafi’uddin.

Mengikut pertuduhan, bapa kepada tiga anak itu didakwa cuba menakutkan secara jenayah terhadap isterinya dengan kata-kata ‘aku nak tetak, aku nak bunuh kau’ di rumah di Parit Sumarto, Parit Raja, di sini, 11.30 malam, 5 Jun lalu.

Justeru, dia didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dengan penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-dua jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, kejadian tercetus ketika pengadu yang juga isteri mangsa berusia 30 tahun berada di rumah bersama tertuduh dan anak-anak.

Tertuduh dan isteri berselisih sebelum mengeluarkan kata-kata terbabit kerana berang wanita mengganggu dia tidur serta melarangnya keluar rumah.

Tindakan itu menimbulkan kemarahan terhadap tertuduh menyebabkan dia hilang sabar lalu mengugut isterinya.

Disebabkan ugutan itu, mangsa gementar lalu membuat laporan di Balai Polis Parit Raja.

Bertindak atas laporan dibuat, polis menahan tertuduh keesokan hari bagi membantu siasatan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Farah Wahidah Mohd Sharip manakala tertuduh diwakili peguam Zulyatie Awang.

Terdahulu, pihak pendakwaan memohon mahkamah agar menjatuhkan hukuman setimpal dengan mengambil kira kata-kata ugutan yang boleh menimbulkan ketakutan kepada mangsa.

Selepas mengambil kira hujahan dan rayuan kedua-dua pihak, mahkamah menjatuhkan hukuman denda dan juga mengarahkan tertuduh dipenjara dua bulan jika gagal membayarnya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini