comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Baru 5 bulan kahwin, kelindan lori tak mengaku cabul anak tiri

FOTO: NSTP

MUAR: Kelindan lori mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap anak tirinya bulan lalu.

Tertuduh berusia 35 tahun yang baru lima bulan berkahwin dengan ibu mangsa, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibaca jurubahasa di hadapan Hakim Abu Bakar Manat.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan amang seksual terhadap anak tirinya berusia 10 tahun di sebuah rumah di Parit Sulong, Batu Pahat, jam 10.20 malam, 24 Februari lalu.

Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14 (d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang dibaca bersama Seksyen 16 (1) akta sama, hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan juga boleh dikenakan sebatan.

Bagi Seksyen 16 (1) pula, tertuduh boleh dikenakan hukuman tambahan iaitu penjara sehingga lima tahun dan sebatan tidak kurang dua kali.

Berdasarkan laporan, kejadian berlaku di rumah ibu mangsa ketika semua ahli keluarganya tiada.

Tertuduh yang berkahwin dengan ibu mangsa September tahun lalu, didakwa melakukan perbuatan itu malah meminta mangsa mendiamkan diri, sebelum mangsa bertindak menceritakan kejadian kepada rakan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Danial Munir manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, pihak pendakwaan memohon mahkamah tidak membenarkan ikat jamin terhadap tertuduh memandangkan mangsa dengan lelaki itu masih tinggal sebumbung.

“Atas faktor keselamatan dan ada kemungkinan perkara sama berulang terhadap mangsa, pihak pendakwaan memohon mahkamah mempertimbangkan agar tertuduh tidak dibenarkan ikat jamin,” katanya.

Selepas mendengar hujahan dan rayuan kedua-dua pihak, mahkamah memutuskan tiada tawaran ikat jamin diberikan terhadap tertuduh.

Mahkamah juga menetapkan 4 April ini untuk sebutan semula kes, serahan dokumen dan juga lantikan peguam tertuduh.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini