comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Baru 6 bulan bebas, bekas banduan didakwa lagi cabul anak saudara

 

Foto: NSTP

MUAR: Seorang lelaki yang baru enam bulan dibebaskan daripada hukuman penjara atas kesalahan dadah, didakwa sekali lagi di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap anak saudaranya, Februari lalu.

Tertuduh berusia 47 tahun yang masih bujang bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan dibaca jurubahasa di hadapan Majistret Fatin Dalilah Khalid.

Dia yang bekerja di kebun sebelum ini menjalani hukuman penjara selama 23 tahun dan dibebaskan November tahun lalu, didakwa melakukan perbuatan itu terhadap anak saudaranya berusia 13 tahun di sebuah rumah di Air Hitam, di sini, pada petang awal Februari lalu.

Bagi pertuduhan ini, dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKKSTKK) 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun tahun dan juga sebatan.

Tertuduh sebelum ini didapati bersalah mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan diperintah menjalani hukuman penjara sejak 2000.

Mengikut laporan dibuat mangsa, kejadian berlaku ketika remaja itu sedang baring di rumah tamu rumah neneknya sambil bermain telefon.

Ketika itu, tertuduh tiba bersama adik mangsa berusia sembilan tahun sebelum bertindak melakukan perbuatan keji itu.

Kejadian itu terbongkar selepas mangsa mengalami sesak nafas sebelum dibawa ke Klinik Kesihatan Air Hitam namun diminta merujuk ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah.

Semasa menerima rawatan, doktor mendapati terdapat kesan calar pada tangan mangsa. Doktor kemudian bertanyakan mangsa sebelum menceritakan dia dipukul bapa kandung.

Pada masa sama, mangsa juga mendedahkan perbuatan bapa saudaranya kepada doktor sebelum membuat laporan polis.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Danial Munir manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Bagaimanapun, tertuduh tidak dibenarkan ikat jamin memandangkan kes itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Sesyen.

Susulan pengakuan tidak bersalah, mahkamah menetap esok untuk sebutan semula kes, permohonan ikat jamin serta lantikan peguam tertuduh.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini