comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Bekas CEO dituduh pindah RM116 juta ke syarikat tiada lesen

Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. – FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Seorang bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) syarikat pelaburan sekali lagi berdepan tuduhan di Mahkamah Sesyen dengan hari ini atas kesalahan memindahkan wang RM116 juta ke sebuah syarikat lain yang melakukan aktiviti pasaran modal tanpa lesen.

Syaiful Riezal Ahmad, 51, mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dikemukakan terhadapnya di hadapan Hakim, Datin Sabariah Othman.

Mengikut dua pertuduhan, Syaiful Riezal sebagai CEO Infinity Trustee Berhad didakwa memindahkan wang RM116,292,904.15 daripada akaun semasa Affin Bank milik syarikat itu ke akaun semasa CIMB bank Pixelvest Sdn Bhd.

Ia bagi melanjutkan perlakuan salah oleh Pixelvest Sdn Bhd yang menjalankan urusan dalam aktiviti terkawal iaitu pengurusan kumpulan wang, sedangkan syarikat terbabit bukan pemegang lesen perkhidmatan pasaran modal dan tidak berdaftar.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Affin Bank Berhad Cawangan PJ State di Petaling Jaya, antara 1 Disember 2020 dan 28 Julai 2022 serta Alliance Bank Malaysia Berhad Cawangan SS2, Petaling Jaya, antara 12 Ogos dan 11 Oktober 2022.

Pendakwaan mengikut Subseksyen 58(1) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (Akta 671) dibaca bersama Perenggan 370(b) dan Subseksyen 367(1) akta sama serta boleh dihukum di bawah Subseksyen 58(4) akta sama, yang membawa hukuman denda maksimum RM10 juta atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Di mahkamah sama, bekas Pengarah Pixelvest Sdn Bhd, Ang Jen Chuen, 33, yang tidak diwakili peguam membuat pengakuan sama atas pertuduhan menjalankan urusan dalam aktiviti terkawal iaitu pengurusan kumpulan wang sedangkan syarikat itu bukan pemegang lesen berkenaan dan tidak berdaftar.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Emporis SOHO, Taman Sains Selangor di Petaling Jaya, antara 15 Disember 2020 dan 15 Julai 2022 mengikut subseksyen sama.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Sekuriti (SC), Muhammad Izzat Fauzan, manakala Syaiful Riezal diwakili peguam, Md Yunos Shariff.

Mahkamah membenarkan Syaiful Riezal dan Jen Chuen masing-masing diikat jamin RM100,000 dan RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 26 Mac ini untuk sebutan semula kes.

Pada 10 Januari lalu, Syaiful Riezal didakwa di Mahkamah Sesyen atas tiga tuduhan menerima wang hasil aktiviti haram membabitkan lebih RM2 juta, manakala Jen Chuen berdepan lapan pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah lebih RM116 juta.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini