comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Bekas jurutera awam didakwa meminta rasuah RM30,000

Oleh: Kumaran Rajamoney

ALOR SETAR: Seorang bekas jurutera awam mengaku tidak bersalah atas pertuduhan meminta rasuah sebanyak RM30,000 dari seorang pemilik syarikat, tujuh tahun lalu.

Pengakuan itu dibuat Syaiful Marzuki Roslan, 43, dihadapan Hakim, N. Priscilla Hemamalini di Mahkamah Sesyen di sini, selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh yang merupakan bekas Jurutera Tempatan Solusi Consult, telah secara rasuah meminta bagi dirinya suapan itu dari pemilik syarikat Seng Heng Piling Engineering.

Rasuah itu didakwa sebagai balasan untuk memberi kelulusan kepada kemajuan kerja dijalankan syarikat berkenaan, bagi projek milik Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Kesalahan itu didakwa dilakukan kira-kira jam 4 petang, 18 April 2017 di Bilik Konsultan, Pejabat Tapak Kembang Serantau dekat Mukim Padang Matsirat, Langkawi.

Kelulusan itu diperlukan bagi membolehkan pihak TNB melakukan pembayaran kepada syarikat tersebut.

Lokasi tersebut merupakan tapak projek cadangan meroboh empat unit rumah rehat sedia ada dan membina semula pusat peranginan bertaraf empat bintang terdiri daripada satu blok kondominium lapan tingkat mengandungi 60 unit kediaman dan kemudahan hotel serta tempat letak kereta untuk anggota kerja TNB.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM12,000 dengan seorang penjamin selain tertuduh turut perlu menyerahkan pasport antarabangsanya.

Kes tersebut dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM), Rasyidah Murni Adzmi serta Pegawai Pendakwa SPRM, Muhamad Taufik Awaludin manakala tertuduh diwakili peguam, Ahmad Adha Amir Yasser dan Nur Sarah Syamimi Syafie.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) dan tarikh sebutan semula kes ditetapkan pada 25 Julai 2024.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini