comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Bekas kapten kapal dituduh seleweng 61,000 liter minyak diesel

KUALA TERENGGANU: Seorang bekas kapten kapal dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas tiga pertuduhan menyeleweng 61,000 liter minyak diesel yang menyebabkan kerugian RM97,600 pada Februari tahun lalu.

Tertuduh Azli Mohd Noor 38 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas ketiga-tiga pertuduhan dibacakan kepadanya di hadapan Hakim Mohd Zul Zakiqudin Zulkifli.

Berdasarkan pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan pecah amanah dengan melakukan penyelewengen minyak diesel sebanyak 26,000 liter dari kapal tangki bernama Alkahfi Chief dan menyebabkan kerugian sebanyak  RM41,600.

Bagi pertuduhan kedua dan ketiga pula, tertuduh didakwa melakukan kesalahan sama melibatkan minyak diesel sebanyak 20,000 liter dengan nilai kerugian RM32,000 dan 15,000 liter dengan kerugian RM24,000.

Kesemua kesalahan itu dilakukan antara 12 hingga 25 Februari tahun lalu di sekitar perairan Kuala Terengganu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 14 tahun dan sebat serta denda.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin.

Tertuduh turut  diperintahkan melapor diri di balai polis terdekat setiap bulan.

Mahkamah menetapkan  21 Februari depan sebagai sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Nabihah Hanim Ayim.

Manakala tertuduh diwakili peguam Che Amir Che Musa.

Loading...
Terkini