comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Bekas kelindan lori bebas tuduhan bakar 34 motosikal di PPR

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen hari ini melepas dan membebaskan seorang bekas kelindan lori atas tuduhan membakar 34 motosikal di parkir Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Muhibbah, Bukit Jalil, dua tahun lalu.

Hakim, Norina Zainol Abidin, membuat keputusan berkenaan selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Mohd Saiful Adey Mohd Noor, 36, di akhir kes mereka.

“Setelah mendengar keterangan saksi pendakwaan dan meneliti hujahan pembelaan serta pendakwaan, pihak pendakwaan gagal buktikan kes prima facie.

“Oleh itu, tertuduh dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan tanpa perlu dipanggil membela diri,” katanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ngoh Jess Lynn, manakala tertuduh diwakili peguam, M Soosai Raj.

Seramai lima saksi pendakwaan memberi keterangan dalam perbicaraan bermula 5 Oktober tahun lalu.

Pada 30 September 2022, Mohd Saiful Adey mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dikemukakan terhadapnya di hadapan Hakim, Emelia Kaswati Mohamed Khalid.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan perbuatan khianat dengan menggunakan cecair mudah terbakar iaitu petrol, sehingga menyebabkan motosikal terbabit hangus terbakar di parkir Blok G PPR berkenaan, jam 2.21 pagi 6 Julai 2022.

Pendakwaan mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara maksimum 14 tahun serta denda.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini