comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Bekas Ketua Balai Polis Tengkera lepaskan premis langgar SOP PKP didenda RM6500

Tertuduh, Abdul Halim Alias mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh atas tuduhan menerima rasuah RM6,000

Oleh Baharuddin Mohamed 

MELAKA: Bekas Ketua Balai Polis Tengkera mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini hari ini atas tuduhan menerima rasuah RM6,000 sebagai dorongan membantu sebuah premis hiburan yang melanggar larangan beroperasi ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), dua tahun lalu.

Tertuduh, Abdul Halim Alias, 59 tahun membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

Dia yang berpangkat Sub-Inspektor didakwa menerima wang tunai RM6,000 tanpa balasan daripada seorang pemilik premis hiburan di Kota Shahbandar, Bandar Hilir, Melaka.

Kesalahan dilakukan antara jam 5 petang hingga 6.15 petang, 11 Ogos 2020  di pejabatnya di Balai Polis Tengkera.

Dakwaan mengikut seksyen 165 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut seksyen sama.

Jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Peguam Azrul Zulkifli Stork memohon mahkamah menjatuhkan hukuman denda paling minimum tanpa penjara kerana anak guamnya menyesal atas kesalahan pertama dilakukannya selama 41 tahun berkhidmat  dalam PDRM selain akan bersara tidak lama lagi.

Timbalan Pendakwa Raya Haresh Prakash Somiah bagaimanapun meminta hukuman setimpal
mengambil kira kepentingan awam selain kedudukan tertuduh sebagai ketua balai polis yang sepatutnya menjadi contoh kepada anggotanya.

Hakim kemudian mengenakan hukuman denda RM6,500 atau lima bulan penjara jika gagal membayar denda.

Mahkamah turut membenarkan pertuduhan lain digugurkan atau diambil kira sebagai Take Into Consideration (TIC) selepas dipohon pihak pendakwaan susulan pengakuan tertuduh.

Loading...
Terkini