comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Bekas pegawai Baitulmal didenda RM15,000

Mohd Hasbollah (tengah) mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan menerima wang baki peruntukan yang diluluskan untuk kerja pembekalan program bantuan hari raya kepada asnaf, lima tahun lalu. FOTO Ahmad Hasbi

SEREMBAN: Bekas pegawai Baitulmal daerah Kuala Pilah didenda RM15,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan pilihan menerima wang baki peruntukan yang diluluskan untuk kerja pembekalan program bantuan hari raya kepada asnaf, lima tahun lalu.

Tertuduh, Mohd Hasbollah Ahmad, 39, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rushan Lutfi Mohamed.

Jika gagal membayar denda, tertuduh boleh dipenjara empat bulan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh sebagai penjawat awam iaitu Pegawai Baitulmal Daerah Kuala Pilah didakwa menerima sejumlah wang tunai iaitu baki peruntukan yang diluluskan untuk kerja pembekalan program bantuan hari raya.

Ia berupa cenderahati kepada asnaf daripada pihak syarikat Al Baiquni Enterprise yang mana tertuduh mengetahui bahawa syarikat berkenaan ada perhubungan dengan kerja-kerja rasmi serta mempunyai kepentingan dengan dirinya.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah bank di daerah Tampin pada Jun 2017.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau dengan denda, atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Sembilan, Mohammad Azriff Firdaus Mohammad Ali manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Hasryzal Badasary.

Ketika mengemukakan rayuan, Mohd Hasryzal meminta mahkamah menjatuhkan hukuman dan bentuk denda yang paling minimum memandangkan tertuduh kini bekerja sendiri dan perlu menyara seorang isteri, dua anak serta ibu.

Manakala Mohammad Azriff Firdaus meminta mahkamah mengambil kira kepentingan awam lebih-lebih ia membabitkan pengurusan wang agensi agama.

“Kesalahan tertuduh membabitkan pengurusan wang asnaf yang perlu diurus dengan baik tetapi sejumlah wang dimasukkan ke akaun bank miliknya dan baki wang tidak dapat dijelaskan ke mana,” katanya. – HARIAN METRO

Loading...
Terkini