comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Bekas pembantu tadbir dipenjara 5 tahun, denda RM90,000 kes jual bayi

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Bekas pembantu tadbir sebuah maktab dijatuhi hukuman penjara lima tahun dan denda RM90,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas dua pertuduhan memperdagangkan bayi berusia 13 bulan dan memalsukan dokumen kelahiran, empat tahun lalu.

Hakim Azura Alwi menjatuhkan hukuman itu terhadap Nurul Faizan Ahmad Asri, 40, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Azura juga membenarkan penangguhan hukuman penjara sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi; bagaimanapun, menolak penangguhan denda yang perlu dibayar hari ini.

Dalam alasan ringkasnya, Azura berkata, terdapat pemindahan milikan antara ibu kandung bayi dan salah seorang saksi yang membuktikan intipati kes di bawah Seksyen 14 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.

“Pembelaan tertuduh bahawa pemindahan milikan bayi itu bertujuan untuk membantu ibu kandungnya dan pemindahan tidak membabitkan wang ringgit hanyalah penafian semata-mata.

“Penafian tertuduh bahawa dia tidak mengetahui isi kandungan sampul surat yang mengandungi dokumen palsu untuk mendaftar kelahiran bayi itu juga adalah penafian semata-mata,” kata hakim itu.

Mengikut pertuduhan, wanita itu didakwa memperdagangkan bayi lelaki berusia 13 bulan bagi maksud eksploitasi menyalahi undang-undang iaitu pemindahan milikan kanak-kanak itu dengan pertukaran wang ringgit di Hospital Taman Desa, Jalan Klang Lama, di sini pada 5 petang, 5 November 2020.

Oleh itu, dia didakwa mengikut Seksyen 14 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 yang boleh dihukum penjara minimum tiga tahun atau maksimum 20 tahun dan denda.

Bagi pertuduhan kedua, dia juga secara palsu menggunakan dokumen iaitu Borang Daftar Kelahiran Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) LM01 bersama lampiran atas nama bayi itu yang mana mempercayai dokumen palsu di JPN Kuala Lumpur, di sini pada 10.30 pagi, November 2020.

Oleh itu, dia didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum seksyen 468 kanun sama boleh dipenjara maksimum tujuh tahun dan denda.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Iznina Hanim Hashim dan Nadia Izhar manakala tertuduh diwakili peguam Ahmad Hafiz A Bakar dan Marisha Dianah Md Darus.

Perbicaraan kes itu bermula 1 September 2022 dengan 13 saksi pendakwaan dipanggil dan seorang saksi pembelaan.

Loading...
Terkini