comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Bekas pengerusi syarikat mengaku tidak salah subahat guna dokumen palsu

Bekas Pengerusi Eksekutif GIIB Holdings Berhad, Tai Boon Wee hadir ke Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur bersama pegawai SPRM hari ini. – FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Bekas Pengerusi Eksekutif GIIB Holdings Berhad dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dakwaan bersubahat dengan mengarahkan setiausaha syarikatnya menggunakan penyata kewangan palsu, tahun lalu.

Tertuduh, Tai Boon Wee, 64, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan meminta dibicarakan selepas pertuduhan berkenaan dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.

Boon Wee didakwa secara tidak jujur bersubahat dengan mengarahkan setiausaha syarikat menggunakan dokumen ‘Interim Financial Statement for the Period Ended 31st March 2023 (3rd Quarter)’ bagi syarikat GIIB sebagai tulen, yang mana kesalahan berkenaan dilakukan hasil persubahatannya.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan berkenaan di Pejabat Bursa Malaysia Berhad, Exchange Square, Bukit Kewangan di sini pada 29 Mei tahun lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Anis Najwa Nazari menawarkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin dan syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melaporkan diri ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebulan sekali dan pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Peguam Wan Shahrizal Wan Ladin yang mewakili tertuduh bagaimanapun memohon jumlah ikat jamin yang lebih rendah atas alasan anak guamnya memberikan kerjasama kepada pihak SPRM sepanjang siasatan.

Azura kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin dan memerintahkan pasportnya diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai serta menetapkan 5 Julai ini bagi sebutan kes.

Pada13 Januari tahun lalu, Boon Wee mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas tuduhan mengemukakan dokumen palsu kepada syarikat pengauditan berhubung penjualan dan pelupusan mesin terpakai bernilai RM2.95 juta.

Bagaimanapun, pada 24 Oktober tahun sama, Mahkamah Tinggi membebaskan beliau selepas membenarkan permohonannya untuk mengetepikan kesemua pertuduhan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini