JOHOR BAHRU: Seorang bekas pengetua Asrama Akhlak (Lelaki) Kempas didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas empat pertuduhan salah guna wang RM43,098.20, tiga tahun lalu.
Wang yang didakwa disalahgunakan Mohd Baharudin Admin, 45, itu berkaitan lebihan tuntutan bayaran daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Johor.
Tertuduh juga didakwa atas empat tuduhan pilihan memalsukan dokumen senarai Daftar Kehadiran Harian Tahanan Sementara (TS) Asrama Akhlak (L) Kempas kepada JKM Johor pada tahun yang sama.
Mohd Baharudin didakwa menyalahgunakan wang berjumlah RM15,718.20, RM4,500, RM9,380 dan RM13,500, lebihan tuntutan bayaran syarikat Hikmat Warisan kepada JKM Johor daripada Mohd Ashaari Masiran, 39.
Dia dituduh melakukan kesalahan itu melalui akaun CIMB Islamic Bank Bhd miliknya di sebuah bank di Pusat Bandar Tampoi, di sini pada 6 Januari, 30 April, 31 Mei dan 25 September 2021.
Lelaki berkenaan didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dengan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Bagi empat pertuduhan pilihan, dia didakwa menggunakan dokumen Senarai Daftar Kehadiran Harian Tahanan Sementara Asrama Akhlak (L) Kempas bagi Julai, Ogos, September dan Oktober 2021 yang diketahuinya dokumen palsu.
Kesalahan dilakukan di JKM Johor, Wisma Persekutuan, Jalan Ayer Molek pada 2 November, 2 September, 4 Oktober dan 2 November 2021.
Pendakwaan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 28(1)(c) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun sama.
Jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara maksimum dua tahun atau dengan denda atau dengan kedua-duanya.
Mohd Baharudin mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan sebelum Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mohd Yasri Yahya dan Mohammad Riduwan Mohammad Radzi, mencadangkan jaminan RM20,000 bagi semua pertuduhan.
Pihak pendakwaan juga memohon mahkamah mengenakan syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri sebulan sekali di Pejabat SPRM Johor Bahru dan menyerahkan pasport antarabangsanya kepada mahkamah.
Peguam, Khairul Azwad Sariman dan Mohd Syahmi Nawawi memohon jaminan dikurangkan kepada tidak lebih RM10,000 dan pengecualian syarat.
Mereka memberi alasan Mohd Baharudin yang kini Penolong Pegawai Pembangunan Masyarakat sentiasa memberi kerjasama kepada SPRM, berkhidmat sebagai penjawat awam selama 22 tahun, menanggung isteri tidak bekerja dan lima anak masih bersekolah.
Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail kemudiannya membenarkan lelaki itu diikat jamin RM10,000 untuk semua pertuduhan dan menetapkan 24 Oktober depan untuk sebutan semula bagi serahan dokumen. – BERNAMA.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.