comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Bekas pengetua didakwa rogol pelajar

Oleh Mohd Ishak Abdillah Ngah / Zamri Ghani

KUALA TERENGGANU: Seorang bekas pengetua mengaku tidak bersalah atas tuduhan berkomunikasi secara seksual, melakukan amang seksual fizikal dan merogol pelajarnya.

Tertuduh 58 tahun, membuat pengakuan itu selepas 13 pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nooriah Osman.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa berkomunkasi secara seksual dengan mangsa yang berusia 16 tahun lapan bulan ketika kejadian.

Selain itu tertuduh turut berdepan pertuduhan merogol dan melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di sekitar Kuala Terengganu dan Marang antara November 2020 hingga November 2021.

Bagi kesalahan itu, tertuduh berdepan lima pertuduhan mengikut Seksyen 376 (2) (f) Kanun Keseksaan dan empat pertuduhan mengikut seksyen 14 (a) akta kesalahan seksual terhadap kanak-kanak (AKSTKK) 2017.

Tertuduh turut didakwa mengikut dua pertuduhan mengikut Seksyen 11 (a), satu pertuduhan mengikut Seksyen 14 (c) dan satu pertuduhan Seksyen 14 (d) AKSTKK 2017.

Bagi semua pertuduhan itu, tertuduh berdepan hukuman penjara antara tiga tahun hingga 30 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM30,000 bagi semua pertuduhan dan menetapkan 20 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Loading...
Terkini