Tumpuan :
Mahkamah

Bekas pengurus Airod terima pampasan RM1.1 juta selepas dipecat secara tak adil

Bekas pengurus Airod, Fawaid Daud dianugerahkan pampasan berjumlah RM1,137,192 setelah beliau didapati dipecat secara tidak adil selepas 32 tahun berkhidmat. Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Bekas pengurus kanan sebuah syarikat penyenggaraan pesawat dianugerahkan pampasan kira-kira RM1.1 juta oleh Mahkamah Perusahaan selepas memutuskan beliau dipecat secara tidak adil atas alasan kontrak pekerjaan jangka tetapnya telah tamat.

Pengerusi mahkamah Augustine Anthony berkata, Fawaid Daud ialah pekerja tetap Airod Sdn Bhd walaupun beliau diberikan kontrak jangka tetap tahunan selama 20 tahun dari 1 Jan 2000 hingga 31 Dis 2020.

“Tiada pertikaian bahawa pihak menuntut ialah pekerja tetap syarikat itu, setelah mula bekerja pada 1 Ogos 1988.

“Beliau bagaimanapun ditawarkan kontrak pekerjaan jangka tetap hanya pada 1 Jan 2000,” kata Anthony dalam keputusan yang dikeluarkan minggu lepas.

Beliau berkata, jelas bahawa syarikat itu berhasrat mengekalkan Fawaid sebagai pekerja tetap, justeru pihak menuntut mempunyai jangkaan yang sah bahawa beliau akan terus bekerja sehingga mencapai usia persaraan minimum mandatori, iaitu 60 tahun.

Anthony berkata, pihak menuntut telah berkhidmat dengan syarikat itu selama 32 tahun dengan rekod tanpa cela dan sentiasa bersedia dipindahkan dari satu jabatan ke jabatan lain.

Katanya, syarikat dan entiti perniagaan berhak sepenuhnya beroperasi untuk keuntungan tetapi mereka tidak boleh mengabaikan kebajikan pekerja.

“Mahkamah mendapati syarikat ini gagal membuktikan atas imbangan kebarangkalian bahawa pemecatan pihak menuntut atas sebab atau alasan yang adil,” katanya.

Walaupun pihak menuntut belum mencapai usia 60 tahun pada tarikh penganugerahan pampasan, Anthony enggan mengembalikan pekerjaannya kerana berpendapat ia bukan penyelesaian yang sesuai dalam kes ini.

Gaji bulanan terakhir diterima Fawaid ialah RM20,307.

Anthony menganugerahkan Fawaid sejumlah RM1,137,192, merangkumi gaji lepas RM487,368 dan RM649,824 sebagai pampasan untuk menggantikan pengembalian pekerjaannya.

Fawaid mula bekerja dengan syarikat itu pada 1988 sebagai jurutera dengan gaji RM1,300.00. Beliau dinaikkan pangkat sebagai timbalan pengurus pada 1 Julai 1993 atas prestasi kerja yang bagus.

Pada 1 Jan 2000, syarikat itu melantik Fawaid sebagai pengurus besar bawah kontrak jangka tetap selama setahun dan sejak itu, tempoh perkhidmatannya terus dibaharui.

Selepas 32 tahun berkhidmat, pada 21 Dis 2020, syarikat itu mengeluarkan surat penamatan kontrak perkhidmatan kepada Fawaid, berkuat kuasa 31 Dis 2020.

Fawaid mendakwa, pemecatan itu berniat jahat dan menyalahi undang-undang, suatu penganiayaan dan amalan buruh yang tidak adil.

Menurut syarikat itu, mulai 1 Jan 2000, pihak menuntut dikategorikan berada pada peringkat pengurusan dengan skim gaji yang lumayan dan faedah tambahan yang tidak dinikmati oleh pekerja tetap lain di syarikat itu.

Katanya, menurut dasar syarikat, semua pekerja pada peringkat pengurusan hanya akan ditawarkan kontrak jangka tetap tahunan.

Bagaimanapun, Anthony berkata, keterangan tidak menyokong hujah syarikat itu.

“Kontrak pekerjaan bertarikh 1 Ogos 1988 dengan jelas menyatakan, pihak menuntut telah diambil bekerja (pada) peringkat pengurusan,” katanya.

Anthony juga berkata, semakan keterangan menunjukkan bahawa imbuhan pihak menuntut apabila dilantik sebagai pengurus besar ‘tiada beza dengan pekerja tetap syarikat’.

Fawaid diwakili Nur Shazwani Shadan selaku peguam, manakala Syafiq Amani Sabri mewakili syarikat itu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini