comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Bekas Pengurus Besar Pertubuhan Peladang didakwa di mahkamah kes tanam lengkuas

FOTO: NSTP

MELAKA: Bekas Pengurus Besar Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Ledang, Tangkak, Johor didakwa di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, hari ini, atas dua tuduhan membuat tuntutan palsu dan meminta serta menerima suapan berjumlah keseluruhan RM64,550 berkaitan projek tanaman lengkuas.

Tertuduh, Mohd Zairey Yahya, 42, dari Seremban, Negeri Sembilan bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan terhadap kedua-dua pertuduhan dalam prosiding didengar Hakim Elesabet Paya Wan.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh sebagai ejen Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Johor didakwa menggunakan suatu sijil perakuan kesempurnaan projek berkaitan kerja-kerja Pembekalan Dan Menghantar Alatan Serta Input Pertanian Projek Lengkuas No. Rujukan: 2j-003312 bertarikh 20 Januari 2021.

Sijil perakuan itu mengandungi pernyataan palsu iaitu mengenai pembekalan bagi anak benih lengkuas sebanyak sembilan tan metrik bernilai RM44,550 dikemukakan kepada Unit Kewangan LPP Johor antara Januari dan Mac 2020 bagi tujuan tuntutan, walhal kerja-kerja sebenarnya tidak dilaksanakan.

Dia dituduh mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (Akta 694) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(2) akta sama, sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan didenda minimum lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa meminta dan menerima wang tunai RM20,000 daripada seorang kontraktor pembersihan sebagai balasan memperakukan kesempurnaan projek kerja-kerja pembersihan, penyediaan tapak serta infra ladang bagi projek tanaman lengkuas.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di parkir kereta Medan Selera Pekan Selandar, Jasin pada 5 Mac 2021, sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga dua tahun atau didenda atau dengan kedua-duanya berpandukan Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Timbalan Pendakwa Raya Mohammad Azriff Firdaus Mohamad Ali menawarkan jaminan RM30,000 bagi kedua-dua pertuduhan, namun peguam, Datuk Hanif Hassan merayu jumlah itu dikurangkan atas alasan tertuduh penjawat awam dan bakal penjamin iaitu isterinya juga penjawat awam.

Selepas meneliti hujah kedua-dua pihak, mahkamah menetapkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin selain pasport tertuduh diserah ke mahkamah, jika ada, dan melapor diri di pejabat SPRM Seremban sebulan sekali sehingga kes selesai.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini