comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Bekas pengurus kanan kilang hadapi tuduhan pecah amanah RM25,510 

Foto: Ihsan SPRM Sabah

Oleh: Safwan Sawi

TAWAU: Seorang bekas pengurus kanan sebuah kilang dihadapkan ke Mahkamah Khas Rasuah, di sini, hari ini, atas tiga pertuduhan pecah amanah bernilai RM25,510, lima tahun lalu.

Tertuduh, Hasnawi Dawi, 48, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Jason Anak Juga.

Hasnawi didakwa atas tiga pertuduhan berkaitan pecah amanah menggunakan jawatannya untuk membuat tuntutan kerja, antara November 2017 hingga Januari 2018.

Tertuduh didakwa sebagai pengurus kanan dengan curang telah membuat tuntutan kerja membekal dan menyediakan tenaga kerja, bahan serta pengangkutan untuk menggantikan lantai bangunan yang reput bernilai RM9,010, pada 30 November 2017.

Dua lagi tuntutan berkaitan penggantian ‘Insulation Pipeline Pum’ bernilai RM9,000 dan RM7,500 masing-masing dilakukan pada pada 11 Disember 2017 dan 19 Januari 2018.

Semua tuntutan dilakukan di sebuah syarikat di dalam daerah Lahad Datu itu didapati melanggar tatacara pengurusan kewangan Peruntukan Alat Ganti/Alat Tulis (Senggaraan) sedangkan sebenarnya kerja berkenaan tidak dibuat.

Dakwaan mengikut Seksyen 405 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 406 Kanun sama.

Jika sabit kesalahan, boleh dipenjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Norsham Saharom.

Hakim menetapkan ikat jamin RM12,000 dan RM3,000 untuk semua pertuduhan dengan seorang penjamin.

Tertuduh juga diarah melapor diri di pejabat SPRM terdekat setiap dua bulan sekali selain perlu menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah dan dilarang mengganggu saksi.

Sebutan kes ditetapkan 17 Oktober depan.

Loading...
Terkini