comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Bekas pengurus kewangan didakwa pengubahan wang haram RM28 juta

 

Foto hiasan

SHAH ALAM: Bekas pengurus kewangan syarikat peralatan muzik didakwa di dua Mahkamah Sesyen berasingan di sini hari ini atas pertuduhan pengubahan wang haram bernilai RM28 juta antara 2018 dan 2020.

Tertuduh, Foo Yong Xian, 35, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas 22 pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Muhamad Anas Mahadzir dan Hakim Norazlin Othman.

Yong Xian didakwa dengan 10 pertuduhan menerima dan melupuskan berjumlah RM9.6 juta di hadapan Hakim Muhamad Anas.

Manakala dalam prosiding di hadapan Hakim Norazalin, lelaki itu yang kini tidak bekerja juga turut didakwa dengan 12 lagi pertuduhan pindah dan melupuskan wang berjumlah RM18.4 juta.

Kesemua perbuatan terhadap wang hasil daripada aktiviti haram itu dilakukan menerusi cek dan pemindahan dalam talian akaun milik syarikat peralatan muzik berkenaan ke dalam akaun miliknya dan beberapa akaun syarikat lain.

Bagi semua pertuduhan itu, kesalahan dilakukan di dua cawangan bank di Bangsar dan Bandar Puteri Puchong antara Febuari 2018 hingga Disember 2020.

Justeru, dia didakwa mengikut subseksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 [Akta 613] yang boleh dihukum di bawah subseksyen 4(1) akta yang sama yang membawa hukuman penjara sehingga 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau RM5 juta.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Zulfadli Mohd Nawawi manakala tertuduh diwakili Peguam Tuw Min Ric.

Kedua-dua mahkamah kemudian membenarkan jaminan keseluruhan RM154,000 bersama dua penjamin dan melaporkan diri sebulan sekali di balai polis berhampiran.

Kesemua kes berkenaan dibenarkan untuk dipindahkan bagi dibicara di hadapan Norazlin pada 22 Mac ini.

Sebutan semula kes yang dibenarkan dipindahkan untuk dibicara hadapan Norazlin nanti itu ditetapkan pada 22 Mac depan. – HARIAN METRO

Loading...
Terkini