comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Bekas Pengurus Ladang Tabung Tentera Didakwa Rasuah RM27,500

KUALA TERENGGANU: Seorang bekas pengurus ladang mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini atas enam pertuduhan menerima rasuah bernilai RM27,500 pada tahun 2015. 

Berdasarkan semua pertuduhan, Sauddin Che Lamin, 57, didakwa menerima suapan keseluruhan berjumlah RM27,500 daripada Tham Mun Hing, kerana memilih syarikat TP Parts & Machinery dan syarikat SS Terus Jaya Enterprise untuk kerja-kerja pembekalan di Ladang Tabung Tentera Terengganu. 

Tertuduh membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibacakan keatasnya di hadapan Hakim Dazuki Ali.

Dia didakwa melakukan semua kesalahan tersebut antara Julai hingga Disember 2015 di Ladang Tabung Tentera Terengganu di Kemaman.

Tertuduh boleh dihukum di bawah Seksyen 16 (a) (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Mahkamah membenarkan Sauddin diikat jamin RM14,000 dengan seorang penjamin dan mengarahkan dia melapor diri ke pejabat SPRM setiap bulan dan menyerahkan pasport antarabangsa miliknya.

Mahkamah menetapkan 3 Jan 2022 untuk sebutan semula kes. -BERNAMA

Loading...
Terkini