Tumpuan :
Mahkamah

Bekas pengurus syarikat direman, kemuka kontrak kerja palsu RM77 juta

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Seorang bekas pengurus syarikat direman tujuh hari kerana disyaki mengemukakan dokumen perjanjian kontrak kerja palsu melibatkan nilai kira-kira RM77 juta bagi memohon kuota pekerja asing kepada Jabatan Tenaga Kerja, Kementerian Sumber Manusia.

Perintah reman bermula hari ini sehingga 1 Julai ini dikeluarkan Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin setelah membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret Putrajaya, di sini pagi tadi.

Menurut sumber, suspek lelaki berusia dalam lingkungan 40-an itu ditahan kira-kira jam 6 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Putrajaya.

“Siasatan awal mendapati suspek bersama tujuh pengarah syarikat daripada empat syarikat terbabit telah memohon kuota pekerja asing di Jabatan Tenaga Kerja, Kementerian Sumber Manusia dengan mengemukakan dokumen perjanjian kontrak kerja palsu.

“Suspek disyaki melakukan perbuatan tersebut pada tahun 2022 yang melibatkan 25 kontrak kerja palsu dengan anggaran kira-kira RM77 juta,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM, Datuk Azmi Kamaruzaman ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 16 Akta SPRM 2009.

“SPRM sedang mengesan beberapa lagi individu bagi membantu siasatan,” tegasnya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini