comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Bekas Peniaga Kekal Dipenjara Seumur Hidup

Mahkamah Persekutuan hari ini mengekalkan hukuman penjara 30 tahun dan 10 sebatan terhadap bekas peniaga kerana menculik seorang ahli perniagaan bagi mendapatkan wang tebusan RM500,000, 10 tahun lepas.

Panel tiga hakim diketuai Datuk Vernon Ong Lam Kiat sebulat suara menolak rayuan terakhir Kamaruzaman Mohamed Shah, 44, selepas mendapati wujud keterangan yang mencukupi oleh pihak pendakwaan berhubung penglibatan perayu dalam kejadikan penculikan.

“Sehubungan itu, sabitan terhadap perayu adalah selamat dan rayuan perayu ditolak,” kata Hakim Ong yang bersidang bersama-sama Hakim Datuk Abdul Rahman Sebli dan Datuk Zabariah Mohd Yusof selepas mendengar hujahan peguam K.A Ramu yang mewakili Kamaruzaman dan Timbalan Pendakwa Raya Hanim Mohd Rashid.

Kamaruzaman merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan pada 23 April 2019 yang mengekalkan hukuman penjara seumur hidup iaitu selama 30 tahun dan 10 sebatan oleh Mahkamah Tinggi Melaka pada 27 Oktober 2017.

Mahkamah Tinggi Melaka sebelum ini turut mensabitkan dan menjatuhkan hukuman sama terhadap dua lagi lelaki, Sulaiman Abdul Kadir, 41, dan Farezzuwan Mohd, 33, atas tuduhan serupa, namun mereka tidak merayu.

Kamaruzaman, Sulaiman dan Farezzuwan bersama dua lagi yang masih bebas didakwa secara bersama menculik ahli perniagaan Tan Tiang See, 46, dan mengurung lelaki berkenaan supaya wang tebusan sebanyak RM500,000 dibayar abang mangsa.

Mereka dituduh menculik Tan di sebuah gudang di Jalan TTC 25, Taman Perindustrian Cheng, dan mengurung lelaki berkenaan di sebuah rumah di Taman Merdeka, Batu Berendam, pada 14 Feb 2011, jam 6 petang, mengikut Seksyen 3(1) Akta Culik 1961 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Selepas panel hakim membuat keputusan itu, Kamaruzaman memohon supaya dia dipindahkan dari Penjara Kajang ke Penjara Kluang, Johor, memandangkan keluarganya menetap di Simpang Renggam.

Hakim Ong berkata mahkamah tiada bidang kuasa untuk mengeluarkan perintah berhubung penempatan di penjara.

Ramu memaklumkan bahawa  pihaknya akan membuat permohonan rasmi secara bertulis kepada Penjara Kajang berhubung perkara berkenaan. – BERNAMA

Loading...
Terkini