comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Bekas sukarelawan APM dipenjara 35 tahun, 12 sebatan kerana bunuh kanak-kanak

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Seorang bekas sukarelawan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dijatuhi hukuman penjara 35 tahun dan 12 sebatan oleh Mahkamah Tinggi Klang kerana membunuh kanak-kanak perempuan berusia empat tahun, lima tahun lalu.

Hakim Norliza Othman, memutuskan hukuman berkenaan terhadap Mohd Sazry Mohd Taha, 41, selepas mengaku bersalah atas pertuduhan terbabit.

“Mahkamah ketika menjatuhkan hukuman sudah mengambil kira rayuan tertuduh dan kepentingan awam.

“Demi kepentingan itu, hukuman berat harus dikenakan untuk menjadi pengajaran dan indikasi yang jelas bahawa kesalahan terbabit adalah serius.

“Oleh itu mahkamah mendapati hukuman penjara 35 tahun dan 12 sebatan bagi menggantikan hukuman gantung sampai mati adalah wajar serta adil terhadap tertuduh,” katanya dalam alasan penghakiman bertarikh kelmarin yang dimuat naik menerusi sistem pengurusan e-Kehakiman.

Mengikut pertuduhan, Mohd Sazry didakwa menyebabkan kematian Zahira Sofia Ahmad Mu’iiz di Kampung Sungai Udang, Klang, antara jam 1 tengah hari pada 28 September 2019 hingga waktu sama keesokannya.

Pendakwaan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang boleh membawa kepada hukuman gantung jika disabit kesalahan.

Media melaporkan sepasang suami isteri ditahan selepas dipercayai terbabit dalam kes kematian seorang kanak-kanak berusia empat tahun yang berada bawah jagaan mereka.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli ketika itu berkata, bedah siasat terhadap mayat mangsa mendapati ia berpunca akibat kecederaan pada abdomen daripada hentakan objek tumpul.

Norliza berkata, penderaan sehingga mangsa meninggal dunia menunjukkan tertuduh tidak memberi belas kasihan kepada seorang kanak-kanak.

“Mangsa semestinya tidak berdaya untuk menahan seksaan fizikal dilakukan tertuduh hingga menyebabkan kanak-kanak itu kehilangan nyawa.

“Oleh itu, hukuman setimpal serta berbentuk pengajaran kepada tertuduh harus diberi untuk kesalahan itu dan bukan sekadar hukuman memenuhi keinginan akta,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini