comscore
Tumpuan :
Kes

Bella terkena air panas termos ketika bergaduh dengan Balqis – Saksi

Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali pada perbicaraan kes di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur. – FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, sekali lagi diberitahu kecederaan lecur dialami remaja Sindrom Down dikenali Bella yang didakwa diabai dan dianiaya oleh pengasas Rumah Bonda Siti Bainun Ahd Razali, disebabkan air panas tertumpah dari termos.

Perkara itu diberitahu saksi pembelaan kedua, Norhazira Masling, 35, ketika pemeriksaan utama oleh peguam Mohammad Farhan Maaruf.

Rakan Siti Bainun yang juga jururawat Hospital Tunku Azizah itu berkata, dia mengetahui kejadian berkenaan selepas diceritakan oleh saksi pendakwaan kelima, Yasmin Nahar Mahmood dan Siti Bainun kira-kira dua tahun lalu.

Mohammad Farhan turut bertanya sama ada saksi pernah ke lokasi kejadian iaitu Kondominium Irama Wangsa di Wangsa Maju selepas kejadian dan saksi memberitahu ada ke rumah Siti Bainun.

Mohammad Farhan: Boleh puan maklumkan kepada mahkamah apa puan tahu mengenai kes ini dan kenapa puan dipanggil hari ini?

Norhazira: Sebelum ini saya pernah jumpa Yasmin di dalam kereta dan dia beritahu apa terjadi.

Mohammad Farhan: Dalam pengetahuan puan, kejadian Bella ini apa (yang didakwa didera Siti Bainun)?

Norhazira: Bella terkena air panas, selepas itu Siti Bainun didakwa atas penderaan ke atas Bella.

Mohammad Farhan: Daripada keterangan puan, Yasmin jumpa puan dalam kereta, apa kena-mengena kejadian Bella dengan Yasmin beritahu?

Norhazira: Yasmin ceritakan kepada saya semasa kami berdua di dalam kereta sebelum masuk ke parkir rumah mereka.

Mohammad Farhan: Apa Yasmin beritahu mengenai Bella?

Norhazira: Saya minta dia beritahu perkara sebenar dan jangan menipu. Yasmin kata Bella terkena air panas dari termos ketika bergaduh dengan Balqis (penghuni lain). Termos itu terbalik dan terbuka menyebabkan air mengalir mengenai belakang badan Bella. Yasmin menghubungi Bonda (Siti Bainun) sebelum menarik Bella masuk ke tandas dan menyiram air ke badan Bella yang terkena air panas.

Dalam prosiding sama, Norhazira memberitahu perkara sama turut diceritakan Siti Bainun yang ada menghubunginya semasa wanita itu sedang menjalani kuarantin akibat positif COVID-19 di Hospital Sungai Buloh, Selangor.

Selain itu, Norhazira berkata, Yasmin, Balqis dan Aida kerap mengadu mengenai Bella yang suka mengganggu penghuni kanak-kanak lain di kondominium berkenaan.

Beliau berkata, dari awal melihat Bella membuatkan dia berasa tidak sedap hati dan bimbang Siti Bainun sukar menguruskan remaja itu yang menghidap Sindrom Down.

“Sejujurnya dari hati, saya pernah cakap dekat Siti Bainun hantar Bella balik sebab dia mungkin tidak macam anak-anak yang lain tapi Siti Bainun cakap sayang,” katanya.

Pada perbicaraan Mei tahun lalu, Yasmin memberitahu Mahkamah Sesyen bahawa kecederaan lecur dialami Bella disebabkan air panas dari termos.

Pada 24 November lalu, Mahkamah Sesyen di sini, memerintahkan Siti Bainun membela diri berhubung dua pertuduhan iaitu mengabai dan menganiaya Bella, 13, sehingga mangsa mengalami kecederaan fizikal dan emosi di sebuah unit kondominium di Wangsa Maju antara Februari dan Jun 2021.

Siti Bainun berdepan hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Loading...
Terkini