comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Bicara kes saman fitnah PM terhadap Muhyiddin mula Ogos 2024

KUALA LUMPUR: Perbicaraan kes saman fitnah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin berlangsung selama sembilan hari bermula Ogos tahun depan di Mahkamah Tinggi di sini.

Saman itu berhubung ucapan didakwa berbaur fitnah mengenai Anwar menerima gaji sebanyak RM15 juta semasa berkhidmat sebagai Penasihat Ekonomi Negeri Selangor.

Peguam Datuk SN Nair mewakili Anwar berkata, pada pengurusan kes hari ini, Pesuruhjaya Kehakiman Roz Mawar Rozain menetapkan perbicaraan selama sembilan hari iaitu pada 5,6,7,12,13,14, 26, 27 dan 28 Ogos 2024.

“Mahkamah juga mengarahkan pihak memfailkan permohonan interlokutari jika ada selewat-lewatnya pada 15 Jun 2023. Pengurusan kes seterusnya pada 21 Jun 2023,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Prosiding hari ini turut dihadiri seorang lagi peguam yang mewakili Anwar iaitu Jaden Phoon Wai Ken dan peguam Chetan Jethwani dan Ivy Shu mewakili Muhyiddin.

Pada 20 Disember 2022, Anwar, 75, Anwar selaku plaintif memfailkan saman itu terhadap Muhyiddin berhubung dakwaan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu membuat kenyataan fitnah itu dalam satu ucapan semasa ‘Grand Finale Perikatan Nasional Padang Serai’ di Taman Selasih, Kulim sebagai menyokong calon PN, Datuk Azman Nasrudin bagi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 pada 5 Disember 2022.

Sehubungan itu, Anwar menuntut Muhyiddin antaranya ganti rugi am, ganti rugi teruk, ganti rugi teladan, ganti rugi pampasan selain perintah injunksi untuk menghalangnya daripada terus menerbitkan atau mengedarkan kenyataan fitnah serupa.

Muhyiddin dalam pernyataan pembelaannya mendakwa ucapannya itu tidak berunsur fitnah, sebaliknya adalah komen yang adil selain ia sebahagian daripada kempen politik untuk menyokong Azman.

Loading...
Terkini