Tumpuan :
Mahkamah

[VIDEO] Bung Moktar, Zizie Izette perlu bela diri kes rasuah RM2.8 juta

Foto: NSTP

Oleh: Syafiqah Damanhuri

PUTRAJAYA: Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isterinya, Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad diputuskan untuk membela diri daripada tiga tuduhan rasuah RM2.8 juta.

Ia diputuskan oleh Mahkamah Rayuan melalui panel tiga hakim yang dipengerusikan Hakim Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim bersama Datuk Mohamed Zaini Mazlan dan Datuk Noorin Badaruddin.

“Terdapat ‘prima facie’ terhadap tiga pertuduhan, untuk itu responden perlu bela diri kes perlu dikembali ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.” Ujarnya.

@buletintv3 Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isterinya, Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad diputuskan untuk membela diri daripada tiga tuduhan rasuah RM2.8 juta. #BuletinTV3 #BungMoktar #ZizieIzette #Rasuah #beritaditiktok ♬ original sound – BuletinTV3

Mengikut pertuduhan terdahulu pada 3 Mei 2019, Datuk Seri Bung Moktar, yang ketika itu Pengerusi Bukan Eksekutif FELCRA Berhad, didakwa secara rasuah memperoleh untuk dirinya suatu suapan iaitu wang tunai RM2.2 juta daripada ejen pelaburan Public Mutual Berhad, Madhi Abdul Hamid melalui Datin Zizie Izette.

Beliau dituduh melakukan perbuatan itu sebagai upah bagi mendapatkan kelulusan daripada Menteri Kewangan II untuk FELCRA membuat pelaburan sebanyak RM150 juta bagi menyertai produk unit amanah Public Mutual.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Public Bank Berhad, Cawangan Taman Melawati, Taman Melawati Kuala Lumpur, antara jam 12.30 tengah hari dan 5 petang 12 Jun 2015.

Bagi pertuduhan kedua, Datuk Seri Bung Moktar didakwa secara rasuah memperoleh untuk dirinya suatu suapan iaitu wang tunai berjumlah RM262,500 daripada ejen yang sama, Madhi melalui akaun Public Islamic Treasures Growth Fund (PITGF) yang didaftarkan atas nama Datin Seri Zizie Izette bagi tujuan serupa.

Datuk Seri Bung Moktar juga dituduh secara rasuah memperoleh untuk dirinya suatu suapan iaitu wang tunai berjumlah RM337,500 daripada ejen pelaburan Public Mutual Berhad, Norhaili Ahmad Mokhtar melalui akaun Public Ittikal Sequel Fund (PITSEQ) yang didaftarkan atas nama isterinya, Datin Seri Zizie Izette bagi tujuan yang sama.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di lokasi sama pada jam 12.16 tengah hari dan 12.28 tengah hari, pada 19 Jun 2015.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Subseksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (SPRM) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Datin Seri Zizie Izette pula mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara sama, di tempat, tarikh dan masa sama menaikut Seksven 28(1) (c) Akta SPRM dan boleh dihukum di bawah Subseksyen 24(1) akta sama.

Ia membawa hukuman oenjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.

5 Disember ditetapkan sebagai sebutan kes di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini