comscore
Tumpuan :
Mahkamah

[VIDEO] Bunuh 23 penghuni tahfiz Ittifaqiyah, pemuda kekal ditahan dipenjara

 

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan hari ini menolak rayuan akhir seorang pemuda berusia 22 tahun yang disabitkan atas kesalahan membunuh 23 penghuni Darul Quran Ittifaqiyah dalam kejadian kebakaran, tujuh tahun lalu.

Pemuda (tertuduh pertama) itu merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan tahun lalu yang mengekalkan perintah supaya dia kekal ditahan di penjara selama mana diperkenankan Yang di-Pertuan Agong.

Pada 11 September 2023, Mahkamah Rayuan berpuas hati bahawa dia bukan sahaja bertanggungjawab memulakan kebakaran, malah mengetahui perbuatannya boleh menyebabkan bencana tubuh kepada 23 mangsa dalam kejadian menyayat hati itu.

Foto hiasan

Panel itu turut berpendapat, keterangan pihak pendakwaan sebegitu kuat bahawa pemuda berkenaan bertanggungjawab memanjat pagar belakang tahfiz untuk memulakan kebakaran.

Hakim Datuk Abu Bakar Jais yang bersidang bersama-sama Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali dan Datuk See Mee Chun berpuas hati bahawa pihak pendakwaan berjaya membuktikan keempat-empat elemen bagi mensabitkan pemuda itu terhadap kesemua pertuduhan.

Pada 28 Januari 2020, Mahkamah Tinggi melepas dan membebaskan tertuduh kedua tanpa dipanggil membela diri terhadap pertuduhan dihadapinya.

Pada 17 Ogos 2020, Hakim Datuk Azman Abdullah bagaimanapun mendapati tertuduh pertama bersalah dan mengenakan hukuman penjara selama mana diperkenankan Yang di-Pertuan Agong kerana perayu yang ketika itu berusia 16 tahun adalah pesalah kanak-kanak.

Seksyen 97(1) Akta Kanak-Kanak 2001 menyatakan bahawa hukuman mati tidak boleh dijatuhkan ke atas pesalah kanak-kanak bawah umur 18 tahun namun mahkamah boleh menjatuhkan hukuman penjara selama mana diperkenankan Yang di-Pertuan Agong.

Kedua-duanya yang ketika kejadian berusia 16 tahun, didakwa bersama-sama membunuh dan menyebabkan kematian 23 penghuni pusat tahfiz di Jalan Keramat Hujung, Kampung Datuk Keramat, Wangsa Maju di antara 4.15 pagi dan 6.45 pagi, pada 14 September 2017.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini