Tumpuan :
Mahkamah

Bunuh pelajar KV: Pihak pendakwaan akan buktikan 13 tertuduh pukul mangsa

 

TAWAU: Pihak pendakwaan kes bunuh pelajar Kolej Vokasional Lahad Datu, Allahyarham Mohamad Nazmie Aizzat Mohd Narul Azwan, 17, akan membuktikan mangsa dipukul oleh semua 13 tertuduh.

Timbalan Pendakwa Raya, Nur Nisla Abd Latif, berkata perbuatan itu dilakukan oleh semua tertuduh antara jam 9 malam pada 21 Mac lalu sehingga jam 7.35 pagi pada 22 Mac di Bilik Asrama 7 Resak dan Bilik Asrama 5 Belian, Kolej Vokasional Lahad Datu.

Kesemua tertuduh adalah pelajar di kolej berkenaan pada masa kejadian.
“Pendakwaan akan memanggil saksi-saksi terdiri daripada saksi-saksi mata, pegawai polis, pakar serta bukti keadaan untuk membuktikan kes ini melampaui keraguan munasabah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pembukaan kes itu pada hari pertama perbicaraan pada peringkat pendakwaan kes pembunuhan yang mendapat tumpuan masyarakat dan didengar di hadapan Hakim Datuk Duncan Sikodol, bermula kira-kira jam 2 petang.

Ucapan pembukaan prosiding kes itu antaranya menyebut, bedah siasat yang dilakukan pakar perubatan forensik ke atas mayat si mati pada 23 Mac lalu mengesahkan punca kematian mangsa adalah kecederaan dada dan tisu lembut akibat trauma tumpul.

Prosiding hari ini bagaimanapun hanya membabitkan seorang saksi pendakwaan dipanggil iaitu Pengarah Kolej Vokasional Lahad Datu, Ahmad Fakhrurazi Hamzah.
Sementara itu, hakim dan semua pihak terbabit dalam perbicaraan itu melawat lokasi kejadian di sini, hari ini.

Keputusan lawatan itu dibuat Duncan yang membenarkan permohonan pihak pendakwaan pada prosiding kes itu hari ini yang turut dihadiri barisan peguam daripada pihak pembelaan.

Pada 13 Ogos lalu, 13 pelajar berusia antara 16 hingga 19 tahun dihadapkan ke Mahkamah Tinggi di sini, atas pertuduhan secara bersama-sama membunuh Mohamad Nazmie Aizzat di Bilik Asrama 7 Resak dan 5 Belian, Kolej Vokasional Lahad Datu pada 9 malam, 21 Mac hingga 7.38 pagi, 22 Mac lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara 30 hingga 40 tahun serta tidak lebih 12 sebatan, jika sabit kesalahan.

Pasukan Pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Nur Nisla Abd Latif dibantu TPR Ng Juhn Tao bersama TPR Nur Batrisyia Mohd Khusri.

Sembilan daripada 13 remaja itu diwakili peguam Kamarudin Mohmad Chinki, Datuk Ram Singh, dan Chen Wen Jye, manakala dua remaja diwakili peguam Abdul Ghani Zelika serta dua lagi masing-masing diwakili peguam lantikan, Vivien Thien dan Jhasseny P Kang.

Pada 22 Mac lalu, Mohamad Nazmie Aizzat ditemukan meninggal dunia dalam keadaan terbaring dengan kesan kecederaan dan lebam di beberapa bahagian tubuh di sebuah bilik asrama kolej itu pada 22 Mac kira-kira jam 6.50 pagi.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini