comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Bunuh pemandu e-hailing: Isteri, adik tiri mengaku tidak bersalah

Tertuduh, Nurima Juli, 35, dan adik tirinya, Sadam Kiram, 30, ketika hadir pada prosiding di Mahkamah Tinggi Tawau, hari ini. – FOTO: NSTP

TAWAU: Bekas isteri pemandu e-hailing, Nurima Juli, 35, bersama adik tirinya, Sadam Kiram, 30, dihadapkan ke Mahkamah Tinggi hari ini atas pertuduhan membunuh.

Bagaimanapun, kedua-dua mereka mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Duncan Sikodol.

Berdasarkan pertuduhan, mereka didakwa mencapai niat bersama membunuh Nurman Bakaratu, 61, di sebuah ladang kelapa sawit berdekatan Jalan Anjur Juara, Batu 5 Jalan Apas, dekat sini, antara jam 7.30 malam hingga 11.30 malam, pada 13 Januari 2023.

Bagi kesalahan itu, kedua-dua mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun sama dan boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun dan jika tidak dihukum mati hendaklah dikenakan hukuman sebat tidak kurang 12 sebatan, jika disabitkan kesalahan.

Berikutan pengakuan kedua-dua tertuduh itu, Timbalan Pendakwa Raya Nur Nisla Abdul Latif yang mewakili Timbalan Pendakwa Raya Mohammad Fakrurrazi Ahmad Salim mencadangkan tarikh 7 dan 8 Oktober depan untuk sebutan semula kes.

Bagaimanapun Hakim Datuk Duncan, menetapkan tarikh 18 Oktober untuk pengurusan kes, sementara beliau mengemukakan permohonan kebenaran pengecualian untuk mendengar kes itu daripada Hakim Besar Sabah Sarawak.

Pada prosiding itu juga, Duncan mengatakan beliau tidak boleh mendengar kes terbabit bagi mengelak ketidakadilan (injustice) dan penghakiman berat sebelah (bias) memandangkan kes itu sebelum ini didengar di hadapannya ketika tertuduh pertama (Nurima) tampil sebagai saksi utama pihak pendakwaan.

Untuk rekod, perbicaraan kes bunuh berprofil tinggi membabitkan pegawai kanan polis itu, termasuk bekas Ketua Staf Perisikan ESSCOM, Senior Asisten Komisioner Datuk Mat Zaki Md Zain (B) bersama tujuh individu lain yang didakwa bersubahat dan membunuh Nurman.

Bagaimanapun, pada 25 Januari lalu Mahkamah Tinggi Tawau membebas dan melepaskan semua lapan tertuduh terbabit selepas pihak pendakwaan memohon untuk tidak meneruskan pendakwaan ke atas semua tertuduh berikutan pengakuan mengejut Nurima yang mengaku membunuh Nurman yang juga bekas suaminya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini