comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Bunuh pemandu e-hailing: Lelaki didakwa lupus bahan bukti

Foto: NSTP

TAWAU: Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, atas pertuduhan melupus bahan bukti berhubung kes bunuh pemandu e-hailing yang mati dibunuh di Jalan Anjur Juara Batu 5 Jalan Apas dekat sini, dua tahun lalu.

Bagaimanapun tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh Sadam Kiram, 30, berikutan permohonan pihak pendakwaan bagi menetapkan tarikh pengurusan dan perbicaraan kes, dihadapan Majistret Dayang Aidaku Amira Aminuddin.

Mahkamah kemudiannya membenarkan permohonan dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Syahnidzam Ahmad dan menetapkan 26 April depan sebagai tarikh pengurusan kes dan lantikan peguam manakala 1 hingga 3 Oktober sebagai tarikh perbicaraan.

Tertuduh pada 24 Ogos tahun lalu, pertama kali dihadapkan ke mahkamah sama, atas pertuduhan mengikut Seksyen 201 Kanun Keseksaan atas kesalahan melupuskan barang bukti membabitkan penemuan mayat seorang lelaki, Nurman Bakaratu, 61, pada 13 Januari 2023.

Tertuduh didakwa melupuskan barang bukti iaitu gunting dan dompet milik mangsa yang dilakukan di Jambatan Sungai Kinabutan Besar.

Bagi kesalahan itu, tertuduh boleh dihukum penjara maksimum tujuh tahun atau denda jika sabit kesalahan.

Pada 25 Januari lalu, Mahkamah Tinggi Tawau, melepas dan membebaskan lapan tertuduh termasuk bekas Ketua Staf Perisikan ESSCOM, Senior Asisten Komisioner Datuk Mat Zaki Md Zain daripada dakwaan membunuh Nurman Bakaratu.

Keputusan dibuat Hakim Mahkamah Tinggi Tawau Datuk Duncan Sikodol, selepas mendengar permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Khairul Azreem Mamat untuk pihak pendakwaan tidak meneruskan pendakwaan ke atas semua tertuduh berikutan pengakuan mengejut saksi utama pendakwaan yang mengaku membunuh bekas suaminya itu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini