comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Bunuh rakan senegara, warga Indonesia terlepas hukuman mati

FOTO: NSTP

MUAR: Seorang pekerja kebun sawit warga Indonesia yang didakwa membunuh rakan senegara dengan sabit empat tahun lalu, terlepas hukuman mati, sebaliknya dihukum penjara 14 tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini, hari ini.

Hukuman diputuskan Hakim Suria Kumar DJ Paul selepas tertuduh, Petrus Aku, 58, mengaku bersalah terhadap pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan.

Mahkamah turut memutuskan hukuman bermula dari tarikh tertuduh ditangkap pada 19 Mac 2020.

Terdahulu, tertuduh didakwa dengan niat mencederakan yang boleh bawa kematian terhadap mangsa, Iyun Bring di rumah kongsi kebun sawit di Kampung Bentong Nyior, Kluang pada 8 malam, 7 Mac 2020.

Berdasarkan fakta kes, ketika kejadian, tertuduh sedang memasak sebelum didatangi mangsa yang memegang sabit rumput dan cuba menetaknya.

Tertuduh berjaya mengelak dan mengambil pemotong dawai, lalu menghayun ke arah mangsa serta mengenai tangannya, menyebabkan sabit dipegang terjatuh.

Tertuduh segera mengambil sabit itu, kemudian menetak mangsa di leher, kepala dan dada.

Selepas itu, tertuduh ke belakang pondok untuk mencuci sabit serta senjata itu dan dimasukkan ke dalam plastik bersama telefon mangsa, kemudian disorokkan di bawah pokok sawit.

Pada masa sama, tertuduh memberitahu majikan yang mereka berdua dirompak dan diserang lima lelaki bersenjatakan parang, sebelum 12 hari kemudian, polis menahan tertuduh di sebuah pondok berdekatan kebun sayur pada 4.30 petang, 19 Mac 2020.

Laporan bedah siasat mendedahkan terdapat 21 kesan tetakan ke atas mayat si mati.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini