comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Bunuh suami buta, wanita bersama adik dihukum mati

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Shah Alam menjatuhkan hukuman mati terhadap dua beradik kerana membunuh seorang lelaki buta, empat tahun lalu.

Hakim Hasbullah Adam, membuat keputusan itu selepas tertuduh, G S Angela Dewi, 49, dan adik lelakinya, G. S. Vijaya, 46, disabitkan kesalahan atas pembunuhan suami Angela Dewi iaitu R. Devarajoo, 59.

“Mahkamah mendapati tiada sebarang keadaan mewajarkan pelaksanaan budi bicara untuk mengenakan hukuman pemenjaraan dan sebatan menurut peruntukan hukuman terkini Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK).

“Ia setelah mendengar dan meneliti hujahan pembelaan, pendakwaan serta mengambil kira kenyataan impak anak mangsa, D. Navaneethan.

“Oleh demikian, mahkamah memerintahkan kedua-dua tertuduh dikenakan hukuman gantung sampai mati mengikut Seksyen 277 Kanun Tatacara Jenayah (KTJ) bagi kesalahan di bawah Seksyen 302 KK dibaca bersama Seksyen 34 KK,” kata Hasbullah dalam alasan penghakiman akhir bulan lalu, yang dimuat naik dalam sistem pengurusan e-kehakiman.

Mengikut pertuduhan, dua beradik itu didakwa membunuh Devarajoo di sebuah rumah di Kampung Baru Sungai Chua, Kajang antara jam 12 tengah hari hingga 1 tengah hari pada 1 Oktober 2020.

Hakim itu mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan yang munasabah ke atas kes pendakwaan.

Katanya, mahkamah mendapati keterangan saksi pendakwaan tetap utuh dan tiada keraguan munasabah dibangkitkan pembelaan ke atas kebenaran kes pendakwaan.

“Justeru, mahkamah berpuas hati bahawa pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah menurut Seksyen 182A (2) KTJ,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini