comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Bunuh warga emas, pasangan kekasih berdepan hukuman mati 

FOTO: NSTP

MELAKA: Sepasang kekasih berdepan hukuman mati selepas didakwa di Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini, hari ini atas pertuduhan membunuh seorang lelaki warga emas yang mayatnya ditemui dalam longkang, April lalu.

Tertuduh, Noorbaizura Mohd Fuad, 34, dan Muhammad Faris Amjad Jamalludin, 24, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah terhadap mereka.

Mahkamah tidak merekodkan sebarang pengakuan daripada kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam bela kerana kes itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian Tan Kue Seng, 71, di tepi Jalan Gapam, Ayer Keroh, di sini, 9 April lalu, antara 7 pagi hingga 9 pagi.

Pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama dan jika disabitkan membawa hukuman mati.

Timbalan Pendakwa Raya Wardah Ishhar tidak menawarkan jaminan dan memohon tarikh sebutan bagi mendapatkan beberapa laporan termasuk bedah siasat.

Majistret Mazana Sinin kemudian menetapkan kes untuk sebutan serahan dokumen dan lantikan peguam pada 22 Ogos depan.

Media sebelum ini melaporkan misteri kehilangan seorang lelaki warga emas selepas keluar bersarapan pada 9 April lalu terjawab apabila mayatnya dijumpai dua hari kemudian dalam longkang di Jalan Gapam, Jasin.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit dilapor berkata, mayat Kue Seng ditemukan oleh warisnya bersama motosikal Demak EX90 yang ditunggang mangsa ketika keluar rumah di Taman Ozana Impian, Bukit Katil.

 

Loading...
Terkini