comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Bunuh warga emas: Suspek dituduh di mahkamah Selayang esok

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki warga tempatan yang disyaki membunuh seorang warga emas yang ditemui mati akibat ditikam di dalam keretanya di Taman Ehsan Kepong, di sini pada 23 November lalu akan dituduh di Mahkamah Selayang, esok.

Pemangku Ketua Polis Daerah Gombak, Superitendan Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata kertas siasatan kes itu dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya dan telah mendapat arahan pertuduhan ke atas salah seorang suspek di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Daripada lapan suspek yang ditahan, empat suspek akan dijadikan saksi pendakwaan dan suspek yang lain akan dibebaskan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Noor Ariffin berkata Bahagian Siasatan Jenayah IPD Gombak menahan lapan suspek lelaki warga tempatan berumur lingkungan 21 hingga 35 tahun dan mereka direman selama 10 hari mulai 27 November hingga esok bagi membantu siasatan.

Katanya, motif kejadian itu ialah kerana suspek tidak berpuas hati mengenai kadar sewa rumah yang ditetapkan mangsa.

Dalam kejadian itu, polis menerima panggilan orang awam pada 10.16 malam yang terkejut menemui mangsa berusia 70 tahun berkeadaan berdarah di tempat duduk penumpang belakang keretanya dengan ditutupi kain selimut.

Pemeriksaan tubuh badan mangsa mendapati terdapat kesan kelar pada bahagian leher serta kesan tikaman pada perut.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk proses bedah siasat. – BERNAMA

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini