comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Buruh didakwa atas pertuduhan cubaan membunuh polis

Oleh Selwam Arjunan

GEORGE TOWN: Seorang buruh kontrak dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, atas pertuduhan cubaan membunuh anggota polis berpangkat Lans Koperal, minggu lalu.

Tertuduh, S. Ramesh, 33, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohammad Khalid Ab Karim.

Mengikut kertas pertuduhan, Ramesh didakwa menyebabkan kecederaan ke atas Mohamad Azril Syamil Mohamad Hanafi, 29, di sebuah rumah di Lebuh Thean Teik, dalam daerah Timur Laut, jam 12.05 tengah malam pada 1 Mac lalu.

Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun jika disabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Lim Jin Hong, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Hakim membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin dan perlu melapor diri di balai berdekatan setiap bulan, selain tidak menghampiri mangsa sehingga perbicaraan selesai.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 11 April.

Dalam kejadian 1 Mac lalu, seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal luka dan retak di kepala akibat ditetak dengan pisau pemotong daging.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain dipetik berkata, dalam kejadian itu, tertuduh didapati menunggang motosikal dalam keadaan mencurigakan sebelum diekori sejauh 150 meter oleh anggota polis yang melakukan rondaan cegah jenayah.

Ketika ditahan, tertuduh melakukan provokasi ke atas dua anggota berkenaan serta menyerang dan menetak seorang daripadanya sebelum melarikan diri dengan meninggalkan motosikal.

Loading...
Terkini