
KOTA BHARU: Seorang buruh didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas dua pertuduhan merogol dan melakukan komunikasi seksual melalui panggilan video terhadap remaja perempuan berusia 15 tahun, pada Disember tahun lalu.
Tertuduh, Muhammad Amir Zikrillah Mohd Nor, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulkifli Abllah.
Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan komunikasi seksual melalui panggilan video dengan remaja perempuan berusia 15 tahun 9 bulan, jam 8 malam 29 Disember lalu.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 11(1)(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, yang dibaca bersama Seksyen 16 akta sama.
Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tiga tahun.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa merogol kanak-kanak yang sama.
Perbuatan itu dilakukan di lokasi yang sama jam 12.10 tengah malam pada 30 Disember 2024.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan (Akta 574) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 376(1) akta yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat.
Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Faiz Fitri Mohamad, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah membenarkan jaminan RM12,000 terhadap tertuduh dengan seorang penjamin dan menetapkan 13 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.