comscore
Tumpuan :
Mahkamah

[VIDEO] Buruh didakwa rogol anak, ugut, libas isteri dengan parang

 

MELAKA: Seorang buruh didakwa di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, hari ini, atas enam pertuduhan termasuk merogol anak kandungnya, melakukan amang seksual fizikal, ugut bunuh dan melibas parang terhadap isterinya hingga cedera, tahun lalu.

Tertuduh berusia 38 tahun itu mengaku tidak bersalah sebaik semua pertuduhan dibacakan jurubahasa dalam prosiding didengar Hakim Azaraorni Abd Rahman di Mahkamah Sesyen 3.

Berdasarkan dua pertuduhan, lelaki itu didakwa merogol anak perempuannya berumur 15 tahun ketika kejadian, iaitu kesalahan mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan (KK).

Sabit kesalahan boleh dipenjara tidak kurang lapan tahun dan tidak melebihi 30 tahun dan boleh juga dikenakan tidak kurang 10 sebatan.

Tertuduh turut didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa sama yang menjadi kesalahan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak (AKSTK) 2017, jika disabitkan boleh dipenjara tidak melebihi 20 tahun dan sebat.

Tertuduh (baju-T merah jambu) didakwa atas enam pertuduhan termasuk rogol, amang seksual, ugut serta libas isteri dengan parang. – FOTO: NSTP

Bapa kepada dua anak itu juga didakwa mengikut Seksyen 324 KK dan dibacakan bersama Seksyen 326(a) akta sama kerana melibas isterinya berusia 36 tahun dengan sebilah parang sehingga menyebabkannya cedera di lengan kiri.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebat atau mana-mana dua hukuman itu jika disabitkan kesalahan.

Tertuduh juga didakwa melakukan ugutan jenayah terhadap isteri dan dua anak kandungnya berusia 15 dan 17 tahun ketika kejadian dengan mengacukan sebilah parang.

Seterusnya dia didakwa melakukan ugutan jenayah terhadap anak perempuannya dan mengikat anak lelakinya dengan maksud hendak menakutkan akan membunuh anak dalam kandungan anak perempuannya itu.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 506 KK yang boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun dan dengan denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Semua kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah beralamat di Jalan Keretapi Lama, Kampung Gangsa, Durian Tunggal, Alor Gajah pada penghujung Jun 2023 antara jam 2 hingga 3 petang dan pada 22 Oktober 2023, kira-kira 4 petang.

Timbalan Pendakwa Raya Rashidah Baharom tidak menawarkan jaminan terhadap tertuduh kerana risiko berlaku kacau ganggu terhadap saksi pendakwaan iaitu isteri dan dua anak kandungnya.

Tertuduh bagaimanapun tidak membuat sebarang rayuan ketika ditanya oleh hakim dan mahkamah kemudiannya menetapkan 18 Mac ini untuk sebutan semula kes dan lantikan peguam.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini