comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Buruh dipenjara lapan tahun & satu sebatan, amang seksual anak tiri

Foto: NSTP

 

KOTA BHARU: Seorang buruh dijatuhi hukuman penjara lapan tahun dan satu sebatan di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas pertuduhan melakukan amang seksual terhadap anak tiri perempuan dan ugutan mahu mencederakan mangsa, pada 9 Mei lalu.

Tertuduh berusia 44 tahun membuat pengakuan itu selepas kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nik Habri Muhamad.

Bagi pertuduhan amang seksual, tertuduh dikenakan penjara lapan tahun dan satu sebatan, manakala ugutan jenayah lelaki itu dijatuhi hukuman penjara tiga tahun.

Namun, mahkamah mengarahkan hukuman penjara berjalan serentak dari tarikh ditangkap pada 14 Mei lalu.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan amang seksual ke atas seorang remaja perempuan berusia 16 tahun dua bulan ketika kejadian di sebuah rumah di Badang di sini, jam 3 petang, pada 9 Mei.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara lebih 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebat.

Pertuduhan kedua, tertuduh didakwa melakukan ugutan jenayah hendak mendatangkan cedera parah kepada mangsa yang sama dengan menggunakan sebilah pisau di lokasi, masa dan tarikh yang sama.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Mengikut fakta kes, ketika mangsa berada di dalam sebuah bilik, tiba-tiba ayah tirinya masuk, namun mangsa mahu beredar dari bilik itu tetapi ayah tirinya bertindak melakukan amang seksual terhadapnya.

Mangsa berasa takut dan terkejut.

Ayah tirinya keluar dari bilik dan masuk semula dengan membawa sebilah pisau lalu mengacukan senjata itu dan mengugut mahu mencederakan mangsa sekiranya memberitahu sesiapa mengenai kejadian itu.

Tertuduh ditangkap pada 14 Mei di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu.

Polis turut merampas pisau yang digunakan oleh tertuduh untuk mengugut mangsa.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini