Tumpuan :
Mahkamah

Buruh mengaku bersalah miliki senjata buku lima

 

Foto: NSTP

KOTA BHARU: Seorang buruh mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tuduhan memiliki senjata buku lima, 21 Jun lalu.

Mohd Hazri Aidi Mohd Hatta, 27, membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Zulkifli Abllah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memiliki senjata berjadual iaitu buku lima tanpa kebenaran yang sah daripada pihak berkuasa.

Perbuatan itu didakwa dilakukan tertuduh di tepi jalan di kawasan Dewan Beta di sini, jam 9.30 malam, pada 21 Jun lalu.

Pertuduhan itu didakwa mengikut Seksyen 7(1) Akta Bahan Kakisan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 yang membawa hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 10 tahun.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Siti Edabayu Subhan, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Siti Edabayu menawarkan jaminan RM10,000 kepada tertuduh dengan seorang penjamin.

Tertuduh bagaimanapun merayu mahkamah mengurangkan jaminan terhadapnya dengan alasan perlu menjaga ibunya yang sakit.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 9 Julai depan untuk sebutan semula kes serta fakta kes dan jatuh hukum.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini