
KOTA BHARU: Seorang buruh mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan menculik seorang lelaki, pada April 2022.
Tertuduh, Mohd Sharif Zuki, 34, membuat pengakuan itu selepas kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulkifli Abllah.
Mengikut pertuduhan, Mohd Sharif didakwa bersama dua lagi yang masih bebas menculik Mohd Azhan Rosdi, 33, dengan tujuan mengurungnya dengan salah di sebuah rumah di Kampung Pasir Tumbuh di sini, pada jam 5 pagi, 14 April 2022.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan (KK) dibaca bersama Seksyen 34 KK yang sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum tujuh tahun dan boleh dikenakan denda.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Kamarul Hasyime Rosli, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu, Kamarul Hasyime tidak mencadangkan sebarang jaminan kepada tertuduh dan memohon tarikh sebutan semula untuk fakta kes.
Mahkamah kemudian menetapkan 24 Februari depan sebagai tarikh fakta kes dan jatuh hukum.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.