comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Buruh rogol adik kandung dipenjara 10 tahun, 10 sebatan

FOTO : NSTP

KUALA TERENGGANU: Mahkamah Sesyen di sini menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan 10 sebatan terhadap seorang buruh atas kesalahan merogol adik kandungnya yang masih di bawah umur.

Keputusan dibuat Hakim Nooriah Osman selepas tertuduh, 19, mengaku salah atas dua pertuduhan dihadapi.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa merogol mangsa yang ketika kejadian berusia 15 tahun di sebuah rumah di Kuala Nerus antara jam 2 hingga 3 petang pada Mei tahun lalu.

Tertuduh juga didakwa mengulangi kesalahan sama di alamat sama pada jam 3.30 petang, 5 November 2022.

Dia yang didakwa mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan berdepan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan tidak kurang 10 sebatan.

Sejurus pengakuan bersalah tertuduh direkodkan, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara lapan tahun bagi pertuduhan pertama, manakala hukuman penjara 10 tahun dan 10 sebatan bagi pertuduhan kedua.

Mahkamah memerintahkan hukuman penjara berjalan serentak bermula tarikh tertuduh ditahan iaitu pada 9 Disember 2022.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Intan Nor Hilwani Mat Rifin, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Loading...
Terkini