comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Buruh tukar pengakuan tidak bersalah, tuduhan eksploitasi seks

KUALA TERENGGANU: Seorang buruh menukar pengakuan di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan memperdagangkan seorang wanita tempatan bagi tujuan eksploitasi seks.

Tertuduh, Mohamad Fazley Jaafar, 29, menukar pengakuan kepada tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan semula jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Mohd Zul Zakiqudin Zulkifli.

Pada 21 Mac lalu,tertuduh mengaku bersalah di depan Hakim Nazlyza Mohamad Nazri sebelum mahkamah menetapkan hari ini untuk jatuh hukum, namun tertuduh menukar pengakuannya.

Bagaimanapun, rakannya, Mohd Hasfyanizam Mansor, 48, yang juga seorang guru mengekalkan pengakuan tidak bersalah atas pertuduhan sama.

Mengikut pertuduhan,tertuduh didakwa secara bersama-sama memperdagangkan seorang wanita tempatan berusia 29 tahun bagi maksud eksploitasi seks.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah apartment di daerah ini, jam 2.35 pagi pada 11 Mac lalu.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 (Akta 670) dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Bagi kesalahan itu, tertuduh boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan 22 April depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk serahan dokumen dan membenarkan mereka diikat jamin RM12,000 setiap seorang.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini