comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Cabul anak teman wanita, lelaki sudah berkahwin ditahan

Foto: NSTP

MUAR: Penderitaan seorang remaja perempuan yang didakwa menjadi mangsa cabul teman lelaki ibunya berakhir apabila suspek diberkas di sebuah rumah di daerah ini, semalam.

Dalam kejadian jam 8 pagi, mangsa berusia 17 tahun dilaporkan tinggal bersama suspek yang bekerja sebagai juruelektrik.

Kejadian dipercayai berlaku ketika mangsa mahu menutup pintu utama rumahnya selepas diminta berbuat demikian oleh suspek berusia 53 tahun kerana mahu keluar ke tempat kerja.

Difahamkan, suspek yang sudah berkahwin dan mempunyai anak sudah lama berkenalan dengan ibu mangsa berusia 40-an.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz, berkata kesempatan itu diambil suspek dengan melakukan perbuatan tidak bermoral.

Beliau berkata, siasatan mendapati pada hari kejadian, suspek tinggal bersama mangsa manakala ibunya tiada di rumah kerana bekerja.

“Selepas kejadian itu, mangsa membuat laporan polis untuk tindakan lanjut. Bertindak atas laporan itu, polis berjaya menahan suspek pada jam 8 malam tadi,” katanya ketika dihubungi.

Raiz Mukhliz berkata, suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar untuk tindakan lanjut.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Sementara itu, suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Muar hari ini bagi mendapatkan perintah reman.

Majistret Norfarah Syahidah Mohd Noh kemudian mengeluarkan tempoh reman bermula hari ini sehingga Selasa ini.

Loading...
Terkini