MUAR: Seorang lelaki dipenjara lima tahun serta dua kali sebatan selepas mengaku salah melakukan amang seksual fizikal dengan mengumpan jajan kepada kanak-kanak bulan lalu.
Tertuduh, Zairul Nazeri Zulkepli, 37, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca oleh jurubahasa di hadapan Hakim Sayani Mohd Nor di Mahkamah Sesyen di sini, tadi.
Mengikut pertuduhan, dia yang masih bujang didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa berusia 13 tahun di tepi Jalan Kiai Salleh, Chaah, Segamat, jam 5 petang, 29 Ogos lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKKSTKK) 2017, dan boleh dihukum mengikut Seksyen 14 akta sama, penjara sehingga 20 tahun dan juga sebatan.
Berdasarkan fakta kes, polis menerima laporan daripada mangsa mendakwa diganggu tertuduh ketika menunggang basikal untuk membeli makanan di sebuah restoran di Chaah.
Sebaik selesai membeli makanan, mangsa dihampiri tertuduh yang ketika itu menunggang motosikal lalu menghulurkan jajan kepadanya.
Pada masa sama, tertuduh mengambil kesempatan dengan memegang tangan serta menyentuh mangsa menyebabkan kanak-kanak itu ketakutan lalu melarikan diri.
Mangsa pulang ke rumah kemudian menceritakan kejadian itu kepada ibunya sebelum bertindak membuat laporan di Balai Polis Chaah pada 30 Ogos.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Danial Munir manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Sementara itu, tertuduh dalam rayuannya memohon mahkamah menjatuhkan hukuman paling ringan kerana kesal akan kesalahan dilakukan.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman lima tahun penjara serta dua sebatan dengan hukuman itu berkuatkuasa dari tarikh tertuduh ditahan, 30 Ogos.
Selain itu, mahkamah juga mengarahkan tertuduh menjalani pengawasan selama dua tahun sebaik selesai hukuman selari dengan Seksyen 27 AKKSTKK 2017.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.