comscore
Tumpuan :
Mahkamah

[VIDEO] Cabul murid 8 tahun, guru bahasa Arab diarah bela diri 

MUAR: Mahkamah Sesyen di sini, hari ini mengarahkan seorang guru membela diri atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap muridnya dalam perpustakaan di sebuah sekolah rendah di Panchor, Pagoh, lima tahun lalu.

Hakim Abu Bakar Manat membuat keputusan itu selepas mahkamah berpuas hati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh Ahnaf Ariq Shairul Bazri, 33.

Mahkamah kemudian menetapkan 12 dan 13 Mei serta 6 Jun ini untuk tertuduh membuat pembelaan.

Dalam penghakiman itu, mahkamah memberitahu, keputusan mengarahkan tertuduh membela diri dibuat dengan mengambil kira keterangan mangsa selaku saksi pendakwaan (SP) pertama yang boleh dipercayai.

“Selain itu, mahkamah juga mengambil kira keterangan sokongan dua rakan yang juga SP3 dan SP4.

“Mahkamah berpuas hati dan wujud prima facie seperti mana pertuduhan dikenakan terhadap tertuduh. Keterangan mangsa dan rakan ada kredibiliti dan tidak ada sebab untuk berbohong atau mereka-reka cerita.

“Selepas meneliti semua keterangan ini, mahkamah memutuskan kamu (tertuduh) diarah membela diri,” katanya.

Ahnaf Ariq yang juga guru bahasa Arab dan sudah berkahwin didakwa melakukan amang seksual terhadap muridnya yang ketika itu berusia 8 tahun di perpustakaan sekolah terbabit, antara jam 10.20 hingga 11.20 pagi, 3 Oktober 2019.

Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Fizikal Terhadap Kanak-Kanak (AKKSTKK) 2017, dan boleh dihukum mengikut seksyen sama dan dibaca bersama Seksyen 16 (a) akta sama.

Tertuduh juga bakal berdepan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan juga hukuman sebat, manakala Seksyen 16 (1) memperuntukkan hukuman pemenjaraan tidak melebihi lima tahun dan hendaklah dihukum sebatan tidak kurang dua kali.

Mengikut laporan dibuat mangsa, kejadian berlaku ketika sesi pembelajaran di perpustakaan sekolah sebelum tertuduh bertindak memanggil kanak-kanak itu, masuk ke dalam bilik.

Bagaimanapun, rakannya pelik selepas ternampak mangsa memasuki bilik tertuduh untuk melakukan perbuatan terkutuk terhadapnya.

Prosiding hari ini menyaksikan pihak pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya Danial Munir, manakala tertuduh diwakili Farid Aziz.

Seramai lima saksi pendakwaan dipanggil sepanjang tempoh perbicaraan berlangsung sejak 2021.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini