Tumpuan :
Mahkamah

Cabul pelajar atas motosikal, hukuman penjara ditambah lima tahun, tiga sebatan

MUAR: Hukuman penjara dan sebatan terhadap pekerja kilang ditambah kepada 13 tahun bersama enam sebatan selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas kesalahan amang seksual terhadap pelajar perempuan di Kluang, dua tahun lalu.

Mohammad Syafiq Aiman Yahya, 25, yang sebelum ini dipenjara lapan tahun dan tiga sebatan kerana merogol adik angkatnya, mengaku bersalah sebaik pertuduhan dikemukakan di hadapan Hakim Sayani Mohd Nor.

Tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa berusia 14 tahun (ketika kejadian) di Jalan Siantan, Kluang pada 1.30 tengah hari 13 Februari 2022.

Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKKSTKK) 2017 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 14 akta sama dengan penjara sehingga 20 tahun serta sebatan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Danial Munir, manakala tertuduh diwakili peguam Syafie Naim daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Mahkamah memerintahkan tertuduh dipenjara lima tahun dan tiga sebatan dengan hukuman berkuat kuasa selepas hukuman kesalahan merogol selesai.

Selain itu, mahkamah juga mengarahkan tertuduh menjalani sesi kaunseling sepanjang tahanan serta pengawasan polis selama dua tahun sebaik selesai hukuman penjara.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini