comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Cederakan anak tiri dengan parang dan tukul besi, suami isteri mengaku tidak bersalah

MELAKA: Pasangan suami isteri mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan termasuk menyebabkan kecederaan terhadap anak lelaki mereka menggunakan parang dan tukul besi tahun lalu, di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh.

Tertuduh yang juga bapa tiri, Mohd Rahimi Kamarudin, 34, dan isterinya, Sharifah Nur Aziah Syed Murad, 38, menafikan tuduhan itu dan minta dibicarakan di hadapan Hakim Darmafikri Abu Adam.

Mengikut tiga pertuduhan, pasangan itu didakwa bersama-sama dengan sengaja menyebabkan cedera kepada Mohamad Nazim Izany Syamsudin,13, di bahagian kepala menggunakan tukul besi selain cedera di tangan dan pinggang menggunakan parang.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di No 90-1, Batu 4 1/2 Lorong Medang, Jalan Pulau Gadong, Klebang Besar, di sini, antara akhir Januari 2022 jam 1 tengah hari hingga awal Februari 2022, jam 5 petang.

Sabit kesalahan, boleh dikenakan penjara sehingga 20 tahun atau denda atau dengan sebat atau mana-mana daripada dua hukuman itu mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dibacakan bersama Seksyen 326A dan Seksyen 34 kanun sama.

Mereka juga berdepan satu pertuduhan sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap kanak-kanak sama didakwa mengabaikan atau mendedahkannya dengan cara yang mungkin akan menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal di sebuah rumah No 7, Jalan Belimbing 4, Taman Widuri Bachang, pada awal Februari 2022, kira-kira 7 malam.

Jika disabit kesalahan kesalahan kedua-dua tertuduh boleh dipenjara maksimum 10 tahun atau denda RM20,000 atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 dan dibacakan bersama Seksyen 34 kanun sama.

Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Nazrin Ali Rahim tidak menawarkan jaminan kerana kesalahan tidak boleh dijamin terhadap kedua-dua tertuduh yang juga bapa tiri dan ibu kandung mangsa.

Namun, katanya jika mahkamah ingin menggunakan budi bicara, beliau memohon jaminan yang mencerminkan keseriusan kesalahan selain syarat tambahan tertuduh dilarang mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan sehingga kes selesai serta perlu melapor diri di balai polis.

Peguam Muhammad Syah Azlan Abdullah, memohon pasangan itu diberi jaminan dengan alasan mangsa berada dalam jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan tidak tinggal bersama anak guamnya sejak kejadian.

Katanya, Mohd Rahimi hanya seorang buruh dengan gaji RM2,000 sebulan dan perlu menyara enam lagi anak berusia 16 hingga setahun dengan dibantu isteri yang bekerja sebagai pembantu kedai makan sambilan dengan upah RM35 hingga RM40 sehari.

Selepas meneliti hujah kedua-dua pihak, Hakim Darmafikri membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM40,000 bagi semua pertuduhan berserta syarat tambahan seperti dipohon pendakwaan.

20 Jun depan ditetapkan untuk sebutan semula kes bagi mendapatkan laporan psikiatrik mangsa.

Loading...
Terkini