
MARANG: Seorang kelindan lori dipenjara 10 bulan dan satu sebatan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana mencuri telefon bimbit milik pekerja orang kurang upaya (OKU) di kedai runcit di Rhu Rendang.
Hukuman itu diputuskan Majistret Zur Azureen Zainalkefli selepas tertuduh, Mohammad Khairul Shafiq Sukiman, 29, mengaku bersalah terhadap pertuduhan berkenaan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa mencuri sebuah telefon bimbit milik seorang lelaki berusia 49 tahun di kaunter kedai runcit di Rhu Rendang, jam 12.26 tengah malam pada 21 Januari lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
Bagi kesalahan yang sama untuk kali kedua, hukuman hendaklah dengan penjara dan juga dikenakan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.
Mahkamah mengarahkan hukuman penjara terhadap tertuduh selama 10 bulan bermula daripada tarikh tertuduh ditangkap iaitu pada 22 Januari lalu dan juga dikenakan satu sebatan rotan.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor Nurul Hidayah Ismail manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Selain itu, tertuduh turut berdepan satu lagi pertuduhan berkaitan kes penyalahgunaan dadah.
Untuk rekod, tertuduh sebelum ini pernah mempunyai dua rekod jenayah iaitu Seksyen 379A Kanun Keseksaan pada 2017 dan Seksyen 380 Kanun Keseksaan pada 2023.
Terdahulu, media melaporkan polis menahan seorang lelaki dipercayai mencuri telefon bimbit pekerja OKU di kedai runcit di Rhu Rendang.
Penahanan suspek dibuat susulan penularan video yang memaparkan seorang lelaki datang ke kedai berkenaan untuk membeli rokok.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.