comscore
Tumpuan :
Mahkamah

[VIDEO] Datuk disyaki dalang sindiket curi RM24.2 juta disambung reman 3 hari

Oleh: Safwan Sawi

KOTA KINABALU: Seorang ahli perniagaan bergelar Datuk disambung reman tiga hari bermula hari ini, bagi membantu siasatan berhubung kes kehilangan wang daripada beberapa akaun simpanan sebuah bank berjumlah RM24.2 juta.

Suspek disyaki dalang utama sindiket itu antara 13 individu yang telah ditahan dipercayai berkaitan kes kehilangan wang terbabit di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu melibatkan penipuan.

Perintah sambung reman ke atas Datuk berusia 43 tahun itu dikeluarkan oleh Majistret Stephanie Sherron Abbie, di Mahkamah Majistret, Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu, di sini, hari ini.

Perintah reman berkenaan disambung sejak direman buat kali partama pada 17 Jun lalu yang tamat tempoh reman hari ini, susulan permohonan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu, di sini.

Kenderaan polis yang membawa suspek dikesan memasuki Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu pada jam 8.12 pagi sebelum proses permohonan sambung reman terhadapnya dikeluarkan.

Suspek kemudian kelihatan menaiki kenderaan polis dan dibawa keluar dari mahkamah pada jam 11.56 pagi.

Terdahulu polis menahan 13 individu yang disyaki berkait kes kehilangan wang daripada beberapa akaun simpanan sebuah bank berjumlah RM24.2 juta, setakat kelmarin.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, jumlah itu termasuk penahanan terbaharu membabitkan lima individu bagi membantu siasatan.

Lima suspek terbaharu dalam kes itu ditahan di Sabah terdiri daripada tiga lelaki dan dua wanita.

13 suspek yang ditahan terdiri daripada lapan lelaki dan lima wanita berusia antara 22 sehingga 53 tahun.

Daripada jumlah itu, 12 orang ditahan di Sabah dan seorang ditahan di Perlis. Empat daripada mereka yang ditahan pula adalah kakitangan bank.

11 suspek direman sehingga Jumaat ini dan seorang lagi suspek direman sehingga hari ini, manakala seorang lagi suspek sudah dibebaskan dengan jamin polis.

Siasatan kes diteruskan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu tipu.

Kelmarin, Datuk Seri Ramli dalam kenyataan memaklumkan lapan suspek ditahan berhubung kes itu terdiri lima lelaki dan tiga wanita dengan tujuh ditahan di Sabah dan seorang di Perlis.

Katanya, suspek di Perlis akan diterbangkan ke Kota Kinabalu untuk permohonan reman dan siasatan lanjut.

Terdahulu, media melaporkan polis menahan seorang lelaki yang dipercayai dalang sindiket yang mengeluarkan wang tunai RM24.2 juta daripada beberapa akaun simpanan tetap.

Suspek berusia 40-an itu ditahan di Sabah, pada Jumaat lalu selepas polis menahan seorang bekas pengurus bank wanita sehari sebelum itu.

Wanita berusia 38 tahun itu ditahan di Kota Kinabalu, Sabah.

Datuk Seri Ramli dilaporkan berkata, pihaknya percaya lebih ramai lagi individu yang terbabit dalam sindiket pakatan jenayah ini sehingga berlakunya transaksi pengeluaran wang daripada akaun simpanan.

Katanya, pasukan JSJK sedang berusaha menjalankan siasatan untuk menjejak saki-baki sindiket ini dan seterusnya memberkas kesemua suspek terlibat.

Siasatan awal polis mendedahkan terdapatnya pembabitan ahli sindiket dari dalam dan luar bank yang bersekongkol bagi urusan pengeluaran wang berkaitan memandangkan ia hanya boleh dilakukan dengan bantuan dalaman bank.

Semua tangkapan adalah susulan empat laporan polis yang diterima polis di daerah Petaling Jaya, dekat sini, awal bulan ini, berhubung kehilangan wang berkenaan.

Pengadu memaklumkan terdapat pengeluaran wang mencurigakan dilakukan secara tunai di Kota Kinabalu, Sabah membabitkan beberapa akaun simpanan tetap di bank terbabit berjumlah RM24.2 juta.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini