Tumpuan :
Mahkamah

Dera bayi: Pengasuh dipenjara enam bulan, denda RM10,000

Foto hiasan

SEREMBAN: Bekas pengasuh sebuah taska dijatuhi hukuman penjara enam bulan dan denda RM10,000 di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, atas pertuduhan mendera seorang bayi berusia tujuh bulan, empat tahun lalu.

Hakim, Datin Surita Budin turut memerintahkan hukuman penjara tambahan 10 bulan sekiranya tertuduh, Saidatul Syafinaz Saadan, 27, gagal menjelaskan denda berkenaan selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan dibacakan.

Mahkamah turut mengarahkan ibu kepada seorang anak itu menjalani khidmat masyarakat selama 240 jam dalam tempoh 12 bulan dan dikenakan bon berkelakukan baik dengan cagaran RM2,000 dengan seorang penjamin di bawah Seksyen 31(2) Akta Kanak-Kanak 2001.

Sekiranya tertuduh gagal membayar bon itu, boleh dihukum penjara dua bulan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati melakukan kesalahan mendera sehingga mendatangkan kecederaan fizikal ke atas seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh bulan ketika kejadian.

Kesalahan dilakukan pada 24 Ogos 2020 jam antara 7 pagi hingga 6.30 petang di sebuah taska di Garden Avenue Seremban 2, di sini.

Justeru, tertuduh telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya.

Peguam, Mohamad Kamaruzzaman yang mewakili tertuduh berkata, ini adalah kesalahan pertama anak guamnya dan berlaku tanpa disengajakan.

Malah jelasnya, tempoh reman lima hari yang dikenakan terhadap tertuduh sebelum ini merupakan pengajaran berguna kepada anak guamnya dan satu pengalaman yang tidak boleh dilupakan.

Tambahnya, tertuduh mempunyai seorang anak berusia 15 bulan dan disahkan mempunyai sakit jantung manakala bapa kepada tertuduh juga mengalami depresi.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Norazihah Asmuni dalam hujahan pemberatannya berkata, tertuduh adalah pengasuh dan seharusnya menjaga mangsa, bukannya mendatangkan kecederaan kepadanya.

“Ia mengakibatkan mangsa alami pendarahan otak dan badan sebelah kiri lemah. Sehubungan itu mohon hukuman setimpal yang boleh memberi pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat secara umumnya, “katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini